ASAP memenuhi ruang udara Gaza selepas serangan Israel. FOTO Reuters.
ASAP memenuhi ruang udara Gaza selepas serangan Israel. FOTO Reuters.
Reuters

Gaza: Israel mendakwa membunuh lebih 170 pejuang bersenjata dalam serbuan tentera rejim di Hospital Al-Shifa, semalam.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan pertempuran turut mengakibatkan kematian lima pesakit.

Sayap bersenjata Hamas dan Jihad Islam menafikan kehadiran pejuangnya di dalam kemudahan kesihatan di bandar Gaza itu, sebaliknya mereka terbabit pertempuran dengan tentera Israel di kawasan luar hospital.

Tentera Israel menyerbu kompleks Hospital Al-Shifa pada awal pagi, mendakwa bahawa premis itu disambungkan ke rangkaian terowong yang digunakan sebagai pangkalan untuk Hamas dan pejuang Palestin yang lain.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, lima pesakit yang 'ditawan' di dalam Hospital Al-Shifa akhirnya meninggal dunia akibat dinafikan penjagaan, air dan makanan sejak enam hari lalu, sementara keadaan pesakit lain juga semakin merosot.

Tentera Israel yang kehilangan dua askarnya dalam pertempuran itu mendakwa, pihaknya mengelak mendatangkan kecederaan kepada orang awam, pesakit dan kakitangan perubatan ketika berada di hospital, selain menawarkan makanan, air dan akses penjagaan kesihatan yang mencukupi.

Hospital Al Shifa yang juga hospital terbesar di Semenanjung Gaza sebelum perang, kini satu daripada beberapa kemudahan penjagaan kesihatan yang masih beroperasi di utara wilayah dan turut menjadi tempat perlindungan orang awam.

Penduduk yang tinggal berhampiran berkata, tentera Israel meletupkan berpuluh-puluh rumah dan pangsapuri di sekitar hospital dan jalan raya.

Kata mereka, hospital swasta Al-Helo turut diserang.

Pejabat media kerajaan Gaza yang dikendalikan Hamas berkata, kereta kebal Israel melanggar beberapa bangunan di Hospital Al-Shifa dan tentera itu membakar jabatan pembedahan.

Kira-kira 240 pesakit dan waris serta berpuluh kakitangan kesihatan ditahan pihak Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 1:11 PM