Agensi

Baitulmaqdis: Dua wanita yang ditawan Hamas di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu dibebaskan, menurut kumpulan Palestin dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).

Jurucakap sayap bersenjata Hamas berkata, kedua-dua tawanan itu dibebaskan selepas rundingan dengan pengantara, Qatar dan Mesir.

Dalam kenyataan semalam, Abu Obeida memaklumkan menerusi saluran Telegram kumpulan itu yang tebusan berkenaan dibebaskan atas sebab kemanusiaan dan faktor kesihatan yang buruk.

ICRC mengesahkan pembebasan Yocheved Lifshitz, 85, dan Nurit Cooper, 79, yang juga warga Israel.

"Kami berharap mereka akan segera kembali bersama orang tersayang," kata ICRC di platform X yang dilapor Al-Jazeera.

Hamas dilaporkan menawan lebih 200 individu sebagai tebusan ketika melakukan serangan mengejut ke atas Israel pada 7 Oktober lalu.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menggesa pembebasan tanpa syarat semua tebusan yang ditahan di Gaza.

Kumpulan hak asasi manusia, pertubuhan antarabangsa dan keluarga mereka yang ditawan juga menggesa pembebasan segera.

Tebusan pertama dibebaskan pada Jumaat lalu, iaitu dua wanita Amerika Syarikat (AS) Judith Raanan dan anak perempuannya Natalie.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar berkata pembebasan itu dibuat selepas beberapa hari rundingan yang membabitkan pelbagai pihak.

Obeida sebelum ini berkata Hamas menawarkan untuk membebaskan dua tawanan tambahan bersama Judith dan Natalie, tetapi ditolak pihak berkuasa Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 1:17 PM