KESAN kemusnahan akibat serangan udara Israel di selatan Gaza. FOTO AFP
KESAN kemusnahan akibat serangan udara Israel di selatan Gaza. FOTO AFP
AFP

Gaza: Hamas membebaskan dua rakyat Amerika Syarikat (AS) iaitu Judith Tai Raanan dan anak perempuannya, Natalie Shoshana Raanan, semalam.

Dua beranak itu antara kira-kira 200 tebusan yang diculik dalam serangan mengejut pejuang Hamas di wilayah diduduki Israel, pada 7 Oktober lalu.

Hamas berkata, tindakan itu adalah kerjasama dengan Qatar dan Mesir untuk membebaskan tebusan dalam kalangan orang awam atas sebab kemanusiaan, sekali gus sebagai tanda lebih banyak pembebasan akan menyusul.

Kedua tebusan itu ditemukan di sempadan Gaza oleh utusan Israel dan dibawa ke pangkalan tentera di tengah Israel di mana keluarga sedang menunggu untuk bertemu mereka.

Abang tiri Natalie, Ben Raanan meluahkan rasa gembira yang luar biasa dan syukur atas pembebasan mereka.

Dia juga berterima kasih kepada komuniti di seluruh dunia yang sentiasa mendoakan keselamatan adiknya.

Dua beranak itu diculik dari penempatan Nahal Oz berhampiran sempadan Israel-Gaza. Mereka dilaporkan sedang bercuti di Israel, pada masa kejadian.

Keluarga Ranaan, seperti kebanyakan tebusan lain segera melancarkan kempen antarabangsa untuk mendesak usaha membawa mereka keluar dari Gaza.

Sementara itu, Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah berkata, pihaknya sudah membantu membawa tebusan rakyat AS yang dibebaskan itu ke Israel.

Presidennya, Mirjana Spoljaric berkata, pembebasan itu memberikan secebis harapan kepada keluarga tebusan lain dan menyeru semua pihak dalam konflik untuk menunjukkan sekurang-kurangnya rasa kemanusiaan.

Pembebasan itu dibuat dua hari selepas Presiden AS Joe Biden melakukan lawatan solidariti ke Israel untuk menawarkan sokongan terhadap serangan itu.

"Rakyat kita melalui pengalaman pahit yang teruk sejak 14 hari lalu, dan saya sangat gembira kerana tidak lama lagi mereka akan disatukan dengan keluarga mereka, yang telah dilanda ketakutan," katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 10:19 AM