Dr Muhamad Akmal Saleh. FOTO AMIR MAMAT
Dr Muhamad Akmal Saleh. FOTO AMIR MAMAT
Oleh Amir Mamat


Jasin: Pemuda Umno mendesak kolumnis, Andrew Sia, memohon maaf secara terbuka berhubung penulisannya yang mendakwa Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengamalkan sistem 'Apartheid'.

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ini kerana, kenyataan yang dibuat penulis terbabit jelas mengguris hati orang Melayu, khususnya kumpulan penuntut yang pernah menuntut ilmu di institusi pendidikan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua Pemuda Umno seluruh negara akan digerakkan untuk membuat laporan polis, hari ini, berhubung penulisan yang dianggap dangkal dan bersifat perkauman itu.

"Saya jelik dengan pemikiran yang kononnya berpaksikan kepada kebebasan bersuara yang semakin galak meracuni perpaduan kita.

"Penulis ini dengan mudah dan sewenang-wenangnya menuduh UiTM yang menjadi institusi pengajian keramat bangsa Melayu, sebagai sebuah 'Akademi Apartheid'.

"Berdasarkan ulasan beliau, rumusannya bahawa UiTM digambarkan sebagai sebuah legasi sifat perkauman Melayu yang benci dan zalim kepada kaum lain. Begitulah legasi warisan benteng terakhir bangsa kita dihina pada zaman kini," katanya.

Beliau yang juga EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka ditemui selepas menyampaikan Insentif Projek Pembangunan dan Program Pertanian Bandar peringkat daerah di Pejabat Pertanian Jasin, di sini.

Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua Umno Bahagian Jasin mengulas penulisan Sia di sebuah portal berita yang mengaitkan UiTM dengan amalan sistem Apartheid, membawa maksud sistem diskriminasi secara ras dan pengasingan kaum.

Mengulas lanjut, beliau berkata, umum mengetahui sistem Apartheid adalah suatu dasar segregasi kaum yang begitu zalim yakni memuliakan kaum orang putih berbanding orang kulit hitam di Afrika Selatan dan ia adalah dasar kejam yang dibenci semua termasuk Umno serta seluruh orang Melayu.

"Apabila tuduhan keji seperti ini dilemparkan kepada institusi pendidikan kami, apakah tidak boleh hati kami terbakar? Seluruh orang Melayu faham dan hafal benar sejarah UiTM.

"UiTM ini dibina untuk melonjakkan taraf pendidikan dan penguasaan bidang oleh orang Melayu serta Bumiputera dan institusi ini dibangunkan bukan untuk menindas kaum lain tetapi hanyalah untuk membela Bumiputera yang ketinggalan dalam bidang pendidikan di negara sendiri.

"Inilah semangat di belakang Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Dr Muhamad Akmal berkata, UiTM bukan simbol kepada penindasan kepada kaum lain kerana kerajaan yang mempunyai pemimpin majoriti orang Melayu ini tetap sahaja membenarkan pendidikan 'tanah asal' seperti di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan India, malah menyokongnya menerusi penyaluran peruntukan.

"Siapa yang sejak awal membelah perpaduan melalui pendidikan ini? Itupun kita terima dengan berlapang dada sebab kita tahu kepentingan membela hak budaya. Ia tidak termasuk sekolah menengah Cina persendirian yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

"UiTM inilah sahaja medan pendidikan Bumiputera yang ada. Pusat pengajian tinggi lain semua terbuka buat semua kaum. Kita merdeka sudah berpuluh tahun tapi fakta yang 'sebal' ialah tetap sahaja Bumiputera masih ketinggalan.

"UiTM sahaja tempat Bumiputera untuk mengubah destini mereka," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau itu berkata, apabila wujud desakan untuk menghilangkan semangat UiTM ini, ia sememangnya membuatkan orang Melayu sensitif dan berhati-hati.

"Melayu adalah bangsa yang pemaaf dan terbuka, tapi kalau setiap hari dihina begini, mengapa masih terkejut apabila kami susah menerima cadangan keterbukaan biar pun hanya sedikit. Menggelar UiTM sebagai sebuah Akademi Apartheid, adalah keceluparan yang wajib diajar.

"Saya dengan tegas mendesak portal Malaysiakini untuk menurunkan artikel ini dan menggesa Andrew Sia untuk memohon maaf dengan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 1:05 PM