Pengarah Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Pahang, Mohd Asri Seman menunjukkan minuman keras yang dirampas di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Pengarah Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Pahang, Mohd Asri Seman menunjukkan minuman keras yang dirampas di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Guna taktik menjual barangan runcit di dalam kontena bagi mengaburi aktiviti sebenar mengedar rokok dan minum keras seludup.

Itu taktik tiga individu yang dikesan menjual barangan seludup berhampiran tapak pembinaan Stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sini.

Pengarah Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Pahang, Mohd Asri Seman, berkata,

aktiviti itu bagaimanapun berjaya ditumpaskan JKDM pada jam 6 petang, 10 Mei lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan dilakukan JKDM menemui rokok dan minuman keras seludup dianggarkan berjumlah RM68,612.99.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(c) Akta Eksais 1976.

"Tiga warga asing, masing-masing seorang warga Pakistan dan dua Myanmar berusia lingkungan 20-an itu direman selama 15 hari dan akan dituduh di Mahkamah Majistret, di sini," katanya pada sidang media di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah, di sini, tadi.

Dalam kes kedua pula, JKDM merampas rokok pelbagai jenama bernilai RM791,120 di kediaman tidak berpenghuni di Kluang, Johor pada jam 10 malam, 4 Mei lalu.

Katanya, setakat ini, usaha mengesan pemilik premis kediaman sedang dilakukan bagi membantu siasatan.

"Bagi dua kes ini, sitaan membabitkan 992,600 batang rokok dan 622.61 liter minuman keras keseluruhannya bernilai RM860,732.99 termasuk cukai," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 1:26 PM