OPERASI darat Israel di Gaza bermula sejak 27 Oktober lalu. FOTO AFP
OPERASI darat Israel di Gaza bermula sejak 27 Oktober lalu. FOTO AFP
AFP

Bailtulmaqdis: Sayap tentera kumpulan Hamas mendakwa, misi Israel menghapuskan mereka di Gaza menemui kegagalan selepas hampir tiga bulan membedil wilayah Palestin itu, sejak 7 Oktober lalu.

Jurucakap Briged Al-Qassam, Abu Ubaidah berkata, sebarang pembebasan tebusan yang ditahan di Gaza bergantung kepada tindakan Israel menghentikan pencerobohan ke atas wilayah itu.

"Serangan mahupun operasi ketenteraan Israel secara berterusan tidak akan membawa pulang tebusan.

"Tidak mungkin membebaskan tawanan musuh kecuali dengan mengadakan rundingan," katanya dalam rakaman audio.

Abu Ubaidah memberi amaran, tiada alternatif untuk rundingan dan tembakan Israel boleh menyebabkan kematian lebih banyak tebusan.

Sejurus selepas rakaman itu, sayap bersenjata Hamas turut mengeluarkan video yang menunjukkan tiga tebusan Israel dan mendakwa mereka terbunuh dalam serangan Israel.

Data pihak berkuasa Israel merekodkan, 129 tebusan masih ditahan di Gaza.

Gencatan senjata bulan lalu membawa kepada pembebasan lebih 100 tahanan termasuk 80 warga Israel yang dibebaskan sebagai pertukaran untuk 240 warga Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh melawat Mesir minggu ini bagi membincangkan satu lagi gencatan senjata dan perjanjian untuk membebaskan tebusan yang tinggal walaupun rundingan masih belum menghasilkan perjanjian baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 10:25 AM