REMAJA itu didakwa memandu laju sebuah Porsche di bandar Pune pada 19 Mei dan kenderaan itu melanggar sebuah motosikal hingga mengakibatkan dua individu maut. FOTO X
REMAJA itu didakwa memandu laju sebuah Porsche di bandar Pune pada 19 Mei dan kenderaan itu melanggar sebuah motosikal hingga mengakibatkan dua individu maut. FOTO X
Agensi

New Delhi: Kemarahan memuncak di India selepas remaja didakwa menyebabkan kematian dua individu kerana memandu Porsche, dalam keadaan mabuk, diperintahkan untuk menulis esei sebagai hukuman.

The Straits Times melaporkan, keputusan itu menyebabkan orang ramai menuntut hukuman lebih keras dan menuduh badan kehakiman memberikan kelonggaran.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Negeri Maharashtra, Devendra Fadnavis, remaja lelaki berusia 17 tahun itu didakwa memandu laju sebuah Porsche di bandar Pune pada 19 Mei lalu, dan kenderaan itu melanggar sebuah motosikal hingga mengakibatkan dua individu maut.

Dia ditahan dan kemudian dikemukakan kepada Lembaga Kehakiman Juvana, namun dibebaskan dengan ikat jamin dan diperintahkan melakukan kerja khidmat masyarakat selama 15 hari.

Remaja itu juga diminta menulis esei mengenai keselamatan jalan raya, kata Fadnavis.

"Kemarahan bertambah selepas ini. Menurut polis, remaja lelaki itu berumur 17 tahun lapan bulan. Ia adalah jenayah kejam," katanya kepada pemberita pada 21 Mei, sambil menunjuk kepada perubahan 2015 kepada undang-undang juvana India, yang membenarkan remaja berumur 16 tahun ke atas dibicarakan sebagai orang dewasa, jika mereka didakwa melakukan jenayah.

"Ini adalah perintah mengejutkan yang diluluskan (oleh Lembaga Kehakiman Juvana)," kata Fadnavis.

Tambah Fadnavis, polis Pune sedang menyiasat remaja bawah umur itu atas dakwaan menyebabkan kematian.

Polis juga memohon kepada Mahkamah Juvana untuk menyemak perintah ikat jaminnya.

Rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) kononnya dirakam beberapa saat sebelum nahas, menunjukkan sebuah Porsche putih dipandu laju di jalan utama yang sibuk.

Kelihatan orang ramai bergegas ke lokasi nahas di dalam video yang dikongsi secara meluas di media sosial dan disiarkan di saluran berita tempatan.

Bapa kanak-kanak itu juga ditahan kerana didakwa membenarkan anaknya memandu walaupun remaja itu masih di bawah umur, menurut Pesuruhjaya Polis Pune, Amitesh Kumar.

Umur memandu yang sah di India ialah 18 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 1:36 PM