DR Shazli Ezzat. FOTO Arkib NSTP
DR Shazli Ezzat. FOTO Arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Individu yang mengalami masalah kesihatan mental seharusnya diberi sokongan untuk mendapatkan rawatan dan bukannya dibebani dengan tugas atau memikul sebarang tanggungjawab.

Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Psikiatri, Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan, Profesor Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, bebanan dan tanggungjawab yang tidak sepatutnya akan mengakibatkan individu itu berada dalam tekanan seterusnya akan membahayakan diri sendiri dan orang sekeliling.

"Biasanya, sebelum diberi tanggungjawab dan sebagainya, individu itu perlu melalui proses penilaian sewajarnya bagi mengelak timbul masalah.

"Orang yang ada masalah kesihatan mental ini, kita perlu tengok tahapnya kalau teruk dan tidak boleh berfungsi dari segi tidak boleh melakukan kerja dan berdaya tindak dengan baik, mengurus diri, menjaga hubungan dengan orang sekeliling serta menyumbang kepada masyarakat.

"Kalau ada semua kriteria ini, jangan diberi tanggungjawab tetapi direhatkan sebab dia ada isu masalah kesihatan mental," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas mengenai seorang guru di Jerantut, Pahang mengaku sebagai Imam Mahadi.

Mengulas lanjut, Shazli berkata, apabila disahkan ada gejala psikiatri seperti skizofrenia, individu itu perlu dirujuk kepada pakar untuk mendapatkan rawatan sewajarnya.

"Apabila sudah mengaku Imam Mahadi sebenarnya sudah tidak rasional lagi kerana dia berada pada tahap delusi dan halusinasi iaitu simptom skizofrenia.

"Secara umumnya tanda skizofrenia ini berlaku perubahan kelakuan mengelirukan apabila pesakit tidak dapat membezakan pengalaman sebenar dan tidak nyata selain individu ini juga sering mengalami gejala menakutkan seperti mendengar suara tidak didengari orang lain atau mempercayai orang lain membaca fikiran dan mengawal pemikiran atau cuba mencederakan mereka.

"Ini boleh berlaku kepada sesiapa saja atas pelbagai faktor terutama genetik, struktur otak yang abmormal, sejarah sebagai penagih dadah atau penggunaan alkohol atau pernah mengalami komplikasi kehamilan, kelahiran dan sebagainya.

"Jadi, apabila ada simptom seumpama ini, orang sekeliling termasuk keluarga dan majikan jangan biarkan individu itu berada dalam masyarakat rujuk mereka kepada pakar untuk pastikan dia mendapat rawatan psikiatri dan ambil ubat berkaitan," katanya.

Terdahulu seorang guru wanita mendakwa dia Imam Mahadi menerusi satu hantaran di Facebook.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad memgesahkan, hasil siasatan awal mendapati wanita itu pernah menjalani rawatan psikiatri di sebuah hospital di Kelantan.

Katanya, ibu tiga anak itu juga tinggal berjauhan dengan suaminya yang bertugas di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 12:45 PM