SEORANG lelaki Palestin duduk berhampiran kawasan bangunan kediaman yang runtuh susulan serangan Israel. FOTO Reuters
SEORANG lelaki Palestin duduk berhampiran kawasan bangunan kediaman yang runtuh susulan serangan Israel. FOTO Reuters
AFP

Baitulmaqdis: Kumpulan pejuang Palestin, Hamas sedang meneliti lanjut pelan gencatan senjata secara tiga peringkat di Gaza.

Sumber kumpulan itu memberitahu AFP memaklumkan, pihaknya sedang mempertimbangkan cadangan disediakan pengantara kedua-dua pihak dalam rundingan gencatan senjata di Gaza yang diadakan di Paris, baru-baru ini.

"Perjanjian terbaharu itu bertujuan membuka jalan bagi menghentikan perang selama enam minggu.

"Sepanjang tempoh itu, Israel akan membebaskan antara 200 hingga 300 tahanan Palestin yang tidak dianggap sebagai tahanan keselamatan tinggi, sebagai pertukaran untuk 35 hingga 40 tebusan yang ditahan di Gaza.

"Hanya wanita, kanak-kanak dan lelaki sakit berusia lebih 60 tahun yang ditawan di Gaza akan dibebaskan pada peringkat ini," kata sumber itu.

Sumber yang rapat dengan pengantara Mesir dan Qatar itu berkata, perjanjian baharu itu turut membenarkan penghantaran bantuan dipertingkatkan, dengan kemasukan 200 hingga 300 trak setiap hari.

"Tahap pertama termasuk rundingan mengenai pengunduran tentera Israel dan membolehkan kepulangan orang yang dipindahkan ke Gaza dan utara wilayah itu," kata sumber itu.

Sumber Hamas itu berkata, jika gencatan senjata berlanjutan, peringkat kedua akan menyaksikan tentera simpanan Israel dibebaskan dari tawanan Hamas, sebagai pertukaran dengan jumlah tahanan Palestin yang tidak ditentukan.

"Tentera dan pegawai lain kemudiannya akan dibebaskan, begitu juga pembebasan rakyat Palestin yang ditahan di Israel.

"Isu terakhir yang ditangani perjanjian itu berkaitan dengan pertukaran mayat membabitkan kedua-dua pihak, serta kawalan lintasan sempadan Gaza dan membina semula wilayah yang hancur.

"Mesir dan Qatar akan menjadi pengantara dalam usaha penyelarasan dengan Amerika Syarikat dan Perancis," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak penarikan tentera rejim itu dari Gaza, namun dalam pertemuan dengan beberapa keluarga tahanan semalam, beliau berikrar untuk membawa pulang tawanan.

"Kami melakukan segala usaha, tetapi lebih bijak usaha ini, lebih besar peluang untuk berjaya.

"Masih terlalu awal menyatakan bagaimana ia akan berlaku, tetapi usaha sedang dijalankan untuk membawa semua orang kembali," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 11:07 AM