Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad (tengah) memberi kenyataan media mengenai kes tangkapan dan rampasan dadah di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad (tengah) memberi kenyataan media mengenai kes tangkapan dan rampasan dadah di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Taktik sindiket penyeludupan dadah menjadikan sebuah rumah teres sebagai makmal pemprosesan dadah jenis heroin terbongkar selepas premis itu diserbu dalam dua serbuan sekitar Seberang Perai Tengah, di sini, pada 20 hingga 21 Mei lalu.

Dua lelaki warga tempatan termasuk remaja berusia 17 tahun dan seorang warga Nepal turut ditahan kerana disyaki terbabit dengan aktiviti pemprosesan dadah berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, dalam serbuan itu, polis merampas sebanyak 19 bungkusan plastik lutsinar dan sebuah besen mengandungi hablur dan ketulan disyaki dadah jenis heroin seberat 8.47 kilogram.

"Turut dirampas ialah balutan plastik berwarna coklat yang mengandungi heroin base seberat 337 gram, kotak mengandungi plastik lutsinar berisi bahan kafein seberat 9.5kg, bahan kimia serta peralatan dan perkakasan pemprosesan dadah.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM117,000 ," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini, hari ini.

Beliau berkata, risikan mendapati sindiket ini bergiat aktif sejak akhir tahun lalu, dan dadah itu boleh digunakan seramai 77,000 penagih dadah jika berjaya dipasarkan.

Hamzah berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada tangkapan positif dadah jenis morfin dan tetrahydrocannabinol (THC) manakala seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau kesalahan dadah.

Katanya, remaja berusia 17 tahun itu sudah tidak bersekolah dan hubungan antara kesemua tangkapan masih dalam siasatan.

"Kesemua tangkapan direman selama tujuh hari sehingga 27 Mei bagi membantu siasatan.

"Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang mana masing-masing dua kereta dan motosikal serta barangan kemas disita dengan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan bernilai RM223,800," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 12:54 PM