PRESIDEN Amerika Syarikat Joe Biden sebelum menyampaikan ucapan mengenai agenda Bidenomics di Washington. FOTO AFP.
PRESIDEN Amerika Syarikat Joe Biden sebelum menyampaikan ucapan mengenai agenda Bidenomics di Washington. FOTO AFP.
AFP

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden semalam menegaskan sebarang perbincangan mengenai gencatan senjata Gaza hanya boleh berlaku jika Hamas membebaskan semua tebusan.

"Tebusan sepatutnya dibebaskan dulu, baru kita boleh bercakap mengenai gencatan senjata," katanya ketika ditanya pada majlis berlangsung di Rumah Putih sama ada beliau menyokong perjanjian 'tebusan untuk gencatan senjata'.

Biden kemudian meninggalkan acara itu untuk mempromosikan program ekonominya menjelang pilihan raya tahun depan, dengan mengatakan terpaksa ke Bilik Situasi Rumah Putih bagi "menangani isu lain".

Komen itu dibuat Biden sejurus Hamas memaklumkan membebaskan dua lagi tebusan wanita yang diculik dari Israel.

Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan berkata, AS mengalu-alukan pembebasan dua warga Israel itu.

"Kami berusaha sebaik mungkin untuk memastikan semua tebusan yang masih ditahan di Gaza dibebaskan," katanya menerusi hantaran di aplikasi X.

Israel mengesahkan identiti wanita yang dibebaskan itu sebagai Yocheved Lifshitz, 85, dan Nurit Cooper, 79, kedua-duanya warga Israel yang tinggal di kibbutz Nir Oz.

Bagaimanapun pasangan kepada kedua-dua wanita itu masih ditahan di Gaza.

Pada Jumaat, Hamas membebaskan ibu dan anak warga AS, Judith dan Natalie Raanan.

Semalam, Israel meningkatkan jumlah tebusan yang disahkan kepada 222 orang apabila lelaki bersenjata Hamas melintasi sempadan dan menyerang komuniti kibbutz, pekan dan pangkalan tentera di selatan Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 9:29 AM