MUKFARNIZAN didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual  terhadap remaja OKU. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUKFARNIZAN didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap remaja OKU. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Penjawat awam didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja orang kurang upaya (OKU) di tandas sekolah pada November 2022.

Tertuduh, Mukfarnizan Mukhtar, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 14 tahun enam bulan ketika kejadian.

Perbuatan itu dilakukan dalam sebuah tandas sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota jam 9 pagi pada 24 November 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh diwakili peguam, Ahmad Nizam Mohamed.

Terdahulu, Ahmad Faiz memohon jaminan paling tinggi ditawarkan memandangkan perbuatan itu dilakukan terhadap remaja bawah umur yang juga OKU.

Ahmad Nizam bagaimanapun memohon jaminan RM5,000 ditawarkan memandangkan tertuduh memberi kerjasama baik kepada pihak polis dan mahkamah.

"Tertuduh seorang pembantu pengurusan murid di SK Padang Kala dan sehingga kini masih bertugas. Tertuduh juga sudah berkahwin dan mempunyai dua anak," katanya.

Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan tidak dibenarkan mengganggu mangsa selain menetapkan 27 Jun sebagai tarikh serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 12:59 PM