AKINADE (kiri) belum menjaringkan gol selepas dua perlawanan Liga Super musim ini. FOTO GHAZALI KORI
AKINADE (kiri) belum menjaringkan gol selepas dua perlawanan Liga Super musim ini. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyerang utama Terengganu FC (TFC), Ismaheel Akinade mengakui menghormati bekas pasukannya, Kelantan Darul Naim (KDN) FC apabila dua pasukan berjiran itu bakal bertembung dalam saingan Liga Super, malam esok.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Nigeria itu menegaskan dia perlu melupakan seketika perasaan itu demi merealisasikan misinya biarpun sedar bekas pasukannya itu yang menaikkan namanya dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim lalu.

Jelas pemain berusia 30 tahun itu, dia tekad untuk memburu jaringan pertamanya pada musim ini selepas buntu meledak gol dalam dua aksi terdahulu.

"Menentang bekas pasukan musim lalu itu, ia begitu istimewa, saya hormati mereka dan tiada perkara peribadi, lagipun mereka pernah menaikkan nama saya dalam saingan Liga M.

"Namun saya perlu memandang ke hadapan sebagai perlawanan yang kompetitif dan berharap kami akan menang lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak selepas hampa mengutip mata penuh berdepan Penang FC, Ahad lalu.

"Satu lagi saya turut berharap tersenarai sebagai penjaring selepas dua perlawanan terdahulu menentang Perak FC dan Penang FC saya gagal melakukannya selepas dikawal ketat pertahanan lawan," katanya.

Ketika ditanya adakah dia bimbang sekiranya terus kempunan untuk mencetak nama sebagai penjaring, pemain tinggi lampai itu tidak menafikannya.

"Saya lebih kecewa jika tidak mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, saya bimbang jika tidak mampu menjaringkan gol dalam perlawanan Jumaat ini.

"Tapi saya perlu tingkatkan lagi usaha, lagipun kami baharu bermain dalam dua perlawanan dan ini satu pertandingan yang panjang.

"Saya yakin mampu menamatkan penantian untuk menjaringkan gol jika mendapat peluang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 1:30 PM