MACKINLAY menerima tepukan dan sorakan ketika menghadiri sidang Dewan Rakyat di Parlimen UK, Rabu lalu. FOTO AFP
MACKINLAY menerima tepukan dan sorakan ketika menghadiri sidang Dewan Rakyat di Parlimen UK, Rabu lalu. FOTO AFP
AFP

London: Seorang ahli parlimen United Kingdom (UK) menerima tepukan gemuruh di Parlimen pada 22 Mei lalu, ketika beliau membuat penampilan sulung sejak kedua-dua tangan dan kakinya dipotong akibat sepsis.

Ahli Parlimen bersorak ketika Craig Mackinlay yang menggelarkan dirinya sebagai 'ahli Parlimen bionik' mengambil tempat di Dewan Rakyat, sejurus sebelum sesi soal jawab mingguan Perdana Menteri Rishi Sunak.

Ahli Parlimen daripada Parti Konservatif, berusia 57 tahun itu, dikejarkan ke hospital pada September tahun lalu dan menghabiskan 16 hari dalam keadaan koma sebelum menjalani amputasi empat kali pada Disember lalu.

Berikutan keadaannya, Mackinlay perlu menggunakan tangan dan kaki palsu.

Sunak memberi penghormatan kepada Mackinlay kerana kecekalan, manakala pemimpin pembangkang daripada Parti Buruh, Keir Starmer menyifatkan ahli Parlimen berkenaan menunjukkan keberanian dan keazaman.

Mackinlay mengucapkan terima kasih kepada isteri, anak perempuan dan keluarga atas sokongan mereka, serta kakitangan perubatan.

Beliau menyifatkan 'kepulangannya' di Parlimen sebagai hari penuh emosi tetapi memohon maaf kerana melanggar peraturan dewan dengan memakai kasut sukan dan tidak memakai jaket kerana keadaan fizikalnya.

Mackinlay dalam satu temu bual yang disiarkan pada 21 Mei lalu memaklumkan seluruh badannya bertukar warna biru dalam masa setengah jam selepas tiba di hospital, kerana kejutan septik.

Isterinya, Kati, pada masa itu diberitahu, peluang suaminya untuk sedar daripada koma hanya lima peratus.

Selepas sedar daripada koma, Mackinlay mendapati anggota badannya 'seperti plastik'.

Sepsis adalah tindak balas yang mengancam nyawa kepada jangkitan yang berlaku apabila sistem imun bertindak balas secara berlebihan dan merosakkan tisu dan organ badan.

Yayasan Sepsis UK berkata, 245,000 orang di UK terjejas akibat penyakit itu setiap tahun, dengan sekurang-kurangnya 48,000 maut. Ia lebih tinggi daripada gabungan kematian akibat barah payudara, usus dan prostat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 1:19 PM