PENDUDUK melakukan pencarian di sebalik runtuhan bangunan di Rafah, selatan Gaza. FOTO AFP
PENDUDUK melakukan pencarian di sebalik runtuhan bangunan di Rafah, selatan Gaza. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Satu daripada objektif utama Israel dalam perangnya ke atas Gaza adalah melepaskan diri daripada tanggungjawab untuk kehidupan di enklaf yang padat dengan penduduk iaitu di Semenanjung Gaza, lapor agensi The National News.

Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant berkata, jawatankuasa hal ehwal luar negeri dan pertahanan Knesset (parlimen Israel) sudah dimaklumkan mengenai tiga fasa peperangan Israel dengan pejuang Hamas.

"Peringkat pertama adalah kempen ketenteraan dengan matlamat meneutralkan pengganas dan memusnahkan infrastruktur Hamas, diikuti dengan fasa kedua dengan tentera menghapuskan penentangan.

"Fasa ketiga akan menyaksikan Israel menghentikan tanggungjawabnya untuk kehidupan di Semenanjung Gaza," katanya.

Menurutnya, fasa ketiga itu perlu dilaksanakan sebelum penubuhan realiti keselamatan baharu untuk rakyat Israel.

Israel mengenakan sekatan udara, laut dan udara ke atas Semenanjung Gaza, sejak pejuang Hamas berkuasa di enklaf itu pada 2007.

Namun, pasukan keselamatan Israel yang digembar-gemburkan antara terhebat di dunia gagal menghalang pejuang Hamas daripada menyusup ke wilayahnya, di mana mereka membunuh lebih 1,400 orang pada 7 Oktober lalu hingga menyebabkan tercetusnya peperangan.

Susulan insiden itu, pemimpin Israel berikrar untuk menghancurkan pejuang Hamas.

Sehingga kini, krisis itu - di pihak Palestin - sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 4,137 orang dan mencederakan lebih 13,000 yang lain, kata Kementerian Kesihatan Palestin.

Menteri Pertanian Israel Avi Dichter berkata, tentera memberi bayangan bahawa pencerobohan darat mungkin akan menyusuli pengeboman itu.

"Gaza tidak akan pernah mempunyai alat keselamatan dan keupayaan ketenteraan mulai sekarang," katanya pada sidang media di Sderot, bandar berhampiran sempadan Gaza, Khamis lalu.

Sementara itu, bekas pengarah Shin Bet, agensi keselamatan Israel, Dichter berkata, mereka percaya bahawa selepas perang, rakyat Gaza tidak lagi dapat datang ke mana-mana berhampiran dengan sempadan Israel.

"Ia akan menjadi zon kebakaran. Tidak kira siapa anda, anda tidak akan pernah dapat mendekati sempadan Israel," katanya.

Sebelum ini, Agensi Anadolu melaporkan, Gallant pada Khamis lalu turut membayangkan Israel akan memulakan operasi darat yang dijangkakan di Semenanjung Gaza, sebaik sahaja beliau melawat tentera di sempadan.

"Anda melihat Gaza sekarang dari jauh, anda akan melihatnya tidak lama lagi dari dalam. Perintah ini akan datang," kata Gallant kepada tentera Zionis Israel.

Secara berasingan, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bertemu tentera rejim penjajah itu berhampiran Gaza dan dengan angkuh berkata bahawa "kita akan menang dengan kekuatan penuh".

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 11:47 AM