LETUPAN bangunan akibat serangan tentera Israel di bandar Gaza. FOTO AFP
LETUPAN bangunan akibat serangan tentera Israel di bandar Gaza. FOTO AFP
Bernama-Sputnik

Gaza: Lebih 160 rakyat Palestin terbunuh manakala 931 lagi cedera dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza, menurut Kementerian Kesihatan Palestin kepada pemberita Sabtu.

Israel dihujani serangan roket yang tidak pernah berlaku sebelum ini dari Semenanjung Gaza pada pagi Sabtu.

Tentera Israel mendakwa golongan radikal melancarkan lebih 2,000 roket, dan berpuluh-puluh pejuang Palestin menyusup ke kawasan sempadan di selatan Israel, lapor Sputnik.

Sejak itu tentera Israel telah melakukan 'pembersihan' di kawasan berpenduduk.

Dalam pada itu, sayap tentera kumpulan Palestin Hamas mengumumkan Operasi Banjir Al-Aqsa terhadap Israel. Hamas mendakwa telah menawan lebih 35 askar dan pendatang Israel.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengumumkan pelancaran Operasi Pedang Besi terhadap Hamas di Semenanjung Gaza.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menerusi ucapannya berkata Israel sedang berperang dan bahawa dia telah mengarahkan pengerahan rizab sepenuhnya.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas, dalam mesyuarat tergempar dengan beberapa pegawai, menekankan hak rakyat Palestin untuk mempertahankan diri daripada tentera dan pendatang Israel.

Sekurang-kurangnya 40 rakyat Israel telah terbunuh dalam serangan besar-besaran pada Sabtu.

Media melaporkan bahawa ramai pejuang Palestin juga berjaya menyeberangi sempadan.

Israel telah bertindak balas dengan mengisytiharkan situasi perang. Berpuluh-puluh jet pejuang Israel telah menyasarkan kemudahan tentera di Semenanjung Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 12:25 AM