PENDUDUK Palestin memeriksa kesan kemusnahan susulan serangan Israel di Wadi Gaza. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin memeriksa kesan kemusnahan susulan serangan Israel di Wadi Gaza. FOTO AFP
Agensi

Gaza: Sebanyak 160 mayat warga Palestin dibawa keluar dari bawah runtuhan dan jalan, dalam tempoh 24 jam, di Semenanjung Gaza, kata pejabat media kerajaan pada Selasa.

Ia melaporkan, pasukan pertahanan awam menggunakan pelbagai kaedah untuk mengeluarkan mayat berkenaan.

"Kami sedang menghadapi bencana kemanusiaan sebenar yang berlaku dengan bermulanya jeda kemanusiaan," katanya seperti dilaporkan Agensi Anadolu.

Menurutnya: "Tentera pendudukan merobohkan 300,000 unit rumah, termasuk 50,000 unit dirobohkan sepenuhnya dan 250,000 lagi dimusnahkan sebahagiannya".

Mereka yang dipindahkan dari utara Gaza masih tidak dapat pulang ke rumah mereka kerana tentera pendudukan menghalang dan menyasarkan mereka dengan peluru hidup.

Pejabat media kerajaan menggesa kemasukan peralatan dan jentera untuk membantu pasukan pertahanan awam mengambil ratusan mayat dari bawah runtuhan.

"Ini juga akan membantu mengangkat serpihan ratusan ribu rumah, sekolah dan hospital yang musnah oleh tentera (Israel)," tambahnya.

Qatar mengumumkan pada lewat Isnin, lanjutan jeda kemanusiaan selama dua hari dengan lebih banyak pertukaran banduan akan berlaku antara pejuang Hamas dan Israel.

Israel melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran di Semenanjung Gaza berikutan serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober lalu.

Akibatnya lebih 15,000 individu terbunuh di Gaza, termasuk 6,150 kanak-kanak dan 4,000 wanita, menurut pihak berkuasa kesihatan di enklaf itu.

Jumlah kematian rakyat Israel pula mencecah 1,200 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 10:09 AM