BELIA Palestin berdiri di sekitar bangunan runtuh di Bandar Gaza. FOTO AFP
BELIA Palestin berdiri di sekitar bangunan runtuh di Bandar Gaza. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant pada Jumaat mengumumkan negaranya akan meneruskan perang dengan kekuatan penuh selepas jeda kemanusiaan di Gaza, lapor Agensi Anadolu.

Selepas pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Itali, Guido Crosetto di ibu pejabat Kementerian Pertahanan Israel di Tel Aviv, Galant berkata: "Akan ada jeda sebentar, dan selepas itu kami akan terus bekerja dengan kekuatan tentera penuh."

"Kami tidak akan berhenti sehingga kami mencapai matlamat kami: memusnahkan Hamas dan mengembalikan tebusan dari Gaza ke Israel. Terdapat 240 tebusan dan ini adalah sesuatu yang kami tidak boleh terima atau bertolak ansur," tambah Gallant.

Mengenai kawasan sempadan utara dengan Lubnan, Gallant berkata: "Kami tidak berminat dalam peperangan, tetapi kami mesti menghalang musuh kami."

"Kami tidak boleh kembali kepada realiti 6 Oktober. Kami diserang dengan kejam oleh Hamas, kemudian kami diserang oleh Hizbullah. Kami tidak akan bertolak ansur dengan ancaman yang ditujukan kepada rakyat kami," tambahnya.

Jeda kemanusiaan selama empat hari antara tentera Israel dan kumpulan Palestin Hamas berkuat kuasa pada pagi Jumaat di semua kawasan di Semenanjung Gaza, menghentikan sementara serangan untuk pertukaran tahanan dan bantuan.

Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti di Semenanjung Gaza berikutan serangan Hamas, membunuh lebih 14,854 rakyat Palestin, termasuk 6,150 kanak-kanak dan lebih 4,000 wanita, menurut pihak berkuasa kesihatan di kawasan itu.

Angka kematian Israel, sementara itu, adalah sekitar 1,200, menurut angka rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 10:09 AM