KANAK-kanak Palestin di Rafah yang kelaparan menanti bantuan makanan.
KANAK-kanak Palestin di Rafah yang kelaparan menanti bantuan makanan.
Syah Rul Aswari Abdullah


OPERASI darat Israel di Gaza kini seakan-akan sudah menghampiri fasa terakhir. Tidak jelas berapa lama fasa ini akan berlarutan. Namun, rejim Zionis kini bersiap sedia untuk menggempur Rafah, bahagian terakhir di selatan di Gaza yang menjadi tempat perlindungan kira-kira 1.4 juta penduduk wilayah itu.

Ini bukannya berita baik. Israel tetap mahu meneruskan matlamatnya untuk melenyapkan sepenuhnya Hamas dari Gaza. Tambahan pula, Menteri Kabinet Perang Israel iaitu Benny Gantz sudah menyatakan tenteranya akan menyerang Rafah semasa Ramadan jika baki tebusan yang ditahan oleh Hamas tidak dibebaskan.

Jika ini berlaku, jumlah penduduk Gaza yang terkorban akan meningkat mendadak apabila Israel menggempur kawasan sempit yang padat dengan penduduk, berhampiran dengan sempadan Mesir ini.

Seiring dengan perkembangan ini, sudah timbul juga perbincangan mengenai day after plan atau 'pelan sehari selepas' atau bahasa mudahnya apa yang berlaku selepas perang di Gaza tamat. Perkara ini sudah dinyatakan dalam laporan media Israel dan organisasi media antarabangsa sejak awal bulan lalu.

Namun, seperti biasa dalam isu yang membabitkan penduduk Palestin Gaza, pelan itu hanya dirangka daripada sudut pandangan dan kepentingan Israel.

Berdasarkan dokumen 'visi untuk fasa tiga' yang diserahkan Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant kepada Kabinet Perang Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, ia menggariskan bahawa Hamas mahupun Israel tidak akan mentadbir Gaza, selepas perang tamat.

Tetapi, menurut Gallant, perkara ini disertakan dengan kaveat tertentu. Kaveat ini, dalam bahasa mudahnya bermakna, ada terma dan syarat tertentu yang diguna pakai.

Secara ringkasnya, Israel mahu pentadbiran awam enklaf itu diserahkan kepada pihak Palestin yang tidak dinamakan.

Tetapi, perlu diingat rejim Zionis itu mahu mengekalkan keupayaannya untuk menjalankan aktiviti ketenteraan di dalam wilayah itu. Ia bermakna tenteranya dapat masuk dan keluar dari Gaza secara sesuka hati.

Walaupun ia berkata tidak akan ada penempatan Israel di Gaza, langkah ini sebenarnya sama seperti aturan semasa di Tebing Barat yang diduduki secara haram oleh Israel.

Menurut Gallant, Israel akan meneruskan pengawasan ketat sempadan Gaza sama ada menerusi darat, udara atau laut. Ia juga akan menjalankan pemeriksaan terhadap apa juga yang keluar masuk dari wilayah itu.

Dalam pada itu, nama pihak ketiga hanya disebut dalam pelan itu apabila membabitkan rancangan untuk pembinaan semula Gaza. Pelan itu menyatakan bahawa gabungan antarabangsa termasuk negara Arab dan Eropah serta sekutu Barat yang lain akan bertanggungjawab dalam perkara berkenaan.

Susulan laporan pelan pascaperang dikemukakan Israel ini, Pihak Berkuasa Palestin (PA) di Tebing Barat menyelar cadangan itu dan berkata, ia adalah pengakuan rasmi Israel untuk menduduki semula wilayah itu.

PA juga berpendapat ia rancangan untuk memanjangkan perang bagi pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin dan percubaan untuk mendapatkan lebih banyak masa untuk melaksanakan rancangan pemindahan penduduk Gaza.

Menurut PA, ia juga menggambarkan gerakan terang-terangan bagi menghalang usaha Amerika Syarikat (AS) dan antarabangsa, untuk gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan, menyelesaikan konflik dan penubuhan negara Palestin.

Israel - seperti biasa tidak peduli apa juga kritikan antarabangsa, biarpun daripada sekutu rapatnya, AS.

Terlalu awal untuk mengatakan sama ada pelan ini boleh dilaksanakan. Namun, jika ia diteruskan, situasi Gaza akan sama seperti sebelum perang atau lebih tepat, sejak 2005, apabila Israel mengenakan sekatan dan berundur sepenuhnya dari wilayah ini. Ia juga bermakna Gaza akan kekal sebagai penjara paling besar di dunia.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2024 @ 5:59 AM