ARTILERI Israel melepaskan tembakan ke arah Semenanjung Gaza. FOTO AFP
ARTILERI Israel melepaskan tembakan ke arah Semenanjung Gaza. FOTO AFP
Reuters

Baitulmaqdis: Israel kini bersedia untuk terus mara ke Selatan Gaza, berhampiran sempadan Mesir selepas mendakwa berjaya memerangi Hamas di Khan Younis.

Pada masa sama, usaha diplomatik juga sedang dilakukan untuk mempercepatkan gencatan senjata.

Menteri Pertahanan, Yoav Gallant pada Khamis berkata, mereka berjaya memerangi kumpulan Palestin di bandar selatan Gaza, Khan Younis, selepas melancarkan serangan darat besar minggu lalu.

Kini, katanya, tenteranya terus mara ke Rafah, yang mana

lebih separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza berlindung di kawasan itu, terutama dari kesejukan dan kelaparan di khemah sementara dan bangunan awam.

"Misi kami di Khan Younis tercapai, dan kami akan sampai ke Rafah serta menghapuskan sebarang elemen unsur keganasan yang mengancam kami," kata Gallant dalam satu kenyataan.‚Äč

Pada masa sama, negara pengantara, Qatar dan Mesir mengharapkan tindak balas positif daripada Hamas, terhadap cadangan konkrit pertama untuk menghentikan pertempuran berpanjangan, dipersetujui dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS) pada rundingan di Paris minggu lalu.

Seorang pegawai Palestin yang rapat dengan rundingan itu memberitahu Reuters, cadangan itu membayangkan fasa pertama gencatan senjata selama 40 hari, yang mana pertempuran akan dihentikan sementara, Hamas membebaskan orang awam yang masih tinggal dalam kalangan lebih 100 tebusan yang masih ditahan.

Fasa selanjutnya akan menyaksikan penyerahan tentera Israel dan mayat tebusan yang mati.

Ia akan menjadi gencatan senjata dalam tempoh lama yang pertama sejak serangan pada 7 Oktober, apabila pejuang Hamas menyerang Israel, serta membunuh 1,200 orang dan menangkap 253 tebusan, mencetuskan serangan Israel yang memusnahkan sebahagian besar Gaza.

Pegawai kesihatan di enklaf itu berkata, setakat Khamis, jumlah kematian di Palestin meningkat melebihi 27,000, dengan beribu-ribu lagi maut di bawah runtuhan.

Seorang pegawai Palestin berkata, Hamas mungkin tidak menolak cadangan itu secara terang-terangan, tetapi akan menuntut jaminan pertempuran tidak akan diteruskan, sesuatu yang tidak dipersetujui Israel.

Pegawai Qatar di ibu negara Doha dan Taher Al-Nono, iaitu penasihat media kepada ketua Hamas Ismail Haniyeh, berkata kumpulan itu belum memberi maklum balas.

Penduduk Gaza berkata tentera Israel menggempur kawasan sekitar hospital di Khan Younis, dan meningkatkan serangan berhampiran Rafah.

Pertempuran juga meningkat dalam beberapa hari kebelakangan ini di kawasan utara sekitar Kota Gaza yang didakwa Israel dikalahkan beberapa minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 11:08 AM