SISTEM anti peluru berpandu Iron Dome Israel memintas roket yang dilancarkan Hamas dan sekutunya. FOTO Reuters.
SISTEM anti peluru berpandu Iron Dome Israel memintas roket yang dilancarkan Hamas dan sekutunya. FOTO Reuters.
AFP

Beirut: Kumpulan Hizbullah yang disokong Iran berkata seorang pejuangnya di selatan Lubnan terbunuh dalam serangan Israel, semalam ketika ketegangan meningkat antara rejim Zionis itu dengan sekutunya, Hamas.

Hizbullah dan puak Palestin lain di Lubnan berbalas tembakan dengan Israel sejak serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober lalu dari Gaza yang mencetuskan peperangan.

Pejuang bersenjata Palestin turut menawan kira-kira 150 tebusan, manakala serangan balas udara dan pengeboman artileri Israel membunuh lebih 2,200 orang di Semenanjung Gaza yang dikawal Hamas.

Hizbullah berkata, pejuangnya yang terkorban "mati syahid semasa berjihad".

Seorang jurucakap memberitahu AFP yang lelaki itu terbunuh di selatan Lubnan, sama ada dalam serangan atau ketika pertempuran dengan Israel.

Dua orang awam Lubnan turut terbunuh dalam serangan Israel di perkampungan selatan Shebaa, kata datuk bandarnya Mohammad Saab kepada AFP.

Awal pagi semalam, Hizbullah dan Israel saling berbalas tembakan merentasi sempadan, dengan tentera Israel mengatakan mereka telah membunuh beberapa 'pengganas' yang cuba menyelinap.

Hizbullah pula menyasarkan lima pos Israel di kawasan Ladang Shebaa yang bersempadan Israel, menerusi pelepasan peluru berpandu dan peluru mortar.

Wartawan AFP berhampiran Ladang Shebaa melaporkan tembakan besar-besaran di kawasan itu dan melihat kepulan asap naik ke udara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 12:08 PM