UCAPAN Hassan Nasrallah yang disiarkan di televisyen bagi memperingati kematian Wissam Tawil, yang dibunuh oleh Israel di selatan Lubnan, 8 Januari lalu. FOTO Reuters.
UCAPAN Hassan Nasrallah yang disiarkan di televisyen bagi memperingati kematian Wissam Tawil, yang dibunuh oleh Israel di selatan Lubnan, 8 Januari lalu. FOTO Reuters.
AFP

Beirut: Ketua pergerakan Hizbullah Lubnan yang disokong Iran pada Ahad berkata, Israel gagal mencapai objektifnya di Gaza dan ini akan memaksanya untuk berunding.

"Apa yang dicapai oleh musuh dalam 100 hari, selain daripada membunuh?" kata Hassan Nasrallah dalam ucapannya di televisyen.

"Ia tidak mencapai sebarang kemenangan sebenar atau mirip kemenangan. Ia gagal dalam mencapai objektif yang diisytiharkan, separuh diisytiharkan dan tersirat," katanya pada hari ke-100 perang antara Israel-Hamas.

Ucapan Nasrallah adalah memperingati kematian seorang komander kanan Hizbullah, Wissam Tawil, yang dibunuh oleh Israel di selatan Lubnan pada 8 Januari lalu.

Perang antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza tercetus susulan serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober di Selatan Israel.

Sebagai tindakan balas, Israel berikrar untuk memusnahkan Hamas dan melancarkan pengeboman tanpa henti serta serangan darat di Gaza yang sudah membunuh sekurang-kurangnya 23,968 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di wilayah kendalian Hamas.

Sejak perang bermula, kejadian berbalas tembakan berlaku hampir setiap hari merentasi sempadan Israel-Lubnan antara sekutu Hamas, Hizbullah dan tentera Israel.

Pada masa yang sama, kumpulan Houthi di Yaman, juga disokong oleh Iran, turut menyerang kapal yang ada kaitan dengan Israel, sebagai solidariti dengan rakyat Palestin di Gaza.

"Jika keadaan ini berterusan, sama ada di Gaza, Tebing Barat, Lubnan, Yaman atau Iraq, kerajaan musuh tidak mempunyai pilihan lain selain menerima syarat-syarat penentangan di Gaza, dengan itu menamatkan pencerobohan terhadap Gaza dan cuba melakukan rundingan," kata Nasrallah.

Pemimpin Hizbullah itu juga mengecam serangan udara oleh Amerika Syarikat (AS) dan Britain, pada Jumaat sebagai tindak balas kepada serangan Houthi ke atas perkapalan.

"Apa yang dilakukan oleh AS di Laut Merah akan membahayakan keselamatan semua pelayaran maritim," kata Nasrallah.

Dalam tempoh lebih tiga bulan keganasan di sempadan Israel-Lubnan, seramai 190 sudah terbunuh di Lubnan, termasuk 141 pejuang Hizbullah dan lebih 20 orang awam, menurut pengiraan AFP.

Pada Ahad, pihak berkuasa Israel mengumumkan dua warga Israel terbunuh susulan peluru berpandu yang dilepaskan dari Lubnan yang mengenai sebuah rumah berhampiran sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 9:31 AM