SAYYED Hassan bercakap ketika upacara memperingati kematian komander lapangan kanan Hizbullah, Taleb Abdallah. FOTO fail  Reuters
SAYYED Hassan bercakap ketika upacara memperingati kematian komander lapangan kanan Hizbullah, Taleb Abdallah. FOTO fail Reuters
AFP

Beirut: Hizbullah memberi amaran tiada tempat selamat untuk Israel, sekiranya perang besar-besaran dilakukan terhadap kumpulan itu.

Ketua Hizbullah, Hassan Nasrallah berkata, kumpulan itu turut mengancam Cyprus, jika membuka lapangan terbangnya kepada Israel.

"Musuh tahu betul kami sudah mempersiapkan diri untuk yang terburuk... dan tiada tempat... akan terhindar dari roket kami

"Israel mesti mengharapkan kita di darat, melalui laut dan udara.

"Musuh benar-benar takut penentangan akan menembusi Galilea di utara Israel," katanya menerusi saluran televisyen.

Nasrallah berkata, kumpulannya yang disokong Iran dimaklumkan Israel boleh menggunakan lapangan terbang dan pangkalan di Cyprus, jika Hizbullah menyerang lapangan terbang Israel.

"Membuka lapangan terbang dan pangkalan Cyprus kepada musuh Israel untuk menyasarkan Lubnan bermakna Kerajaan Cyprus sebahagian daripada perang dan penentangan akan menanganinya sebagai sebahagian daripada perang," katanya.

Israel, dan Hizbullah yang juga sebuah gerakan kuat di Lubnan yang bersekutu dengan Hamas, berbalas tembakan rentas sempadan hampir setiap hari sejak serangan kumpulan pejuang Palestin pada 7 Oktober ke atas Israel yang mencetuskan perang di Semenanjung Gaza.

Rabu lalu, Hizbullah mendakwa beberapa serangan ke atas tentera dan kedudukan Israel di utara Israel, dan mengumumkan kematian empat pejuangnya.

Serangan rentas sempadan antara Hizbullah dan Israel, yang kali terakhir berperang pada 2006, meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan tentera Israel berkata, rancangan operasi untuk serangan di Lubnan diluluskan dan disahkan.

Sebelum ini, Menteri Luar Israel Katz memberi amaran mengenai kemusnahan Hizbullah dalam 'perang total' (perang besar-besaran).

Cyprus, anggota Kesatuan Eropah, mempunyai hubungan baik dengan Israel dan Lubnan dan terletak berhampiran dengan pantai kedua-dua negara.

Britain juga mengekalkan kawalan kedaulatan ke atas dua kawasan pangkalan di bekas jajahannya Cyprus, di bawah syarat perjanjian yang memberikan kemerdekaan pulau itu pada 1960.

Keganasan rentas sempadan membunuh sekurang-kurangnya 478 orang di Lubnan, kebanyakannya pejuang termasuk 93 orang awam, menurut pengiraan AFP.

Pihak berkuasa Israel pula mendakwa, sekurang-kurangnya 15 tentera dan 11 orang awam terbunuh di utara negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 12:02 PM