LELAKI Palestin dengan anaknya di luar Hospital Al-Shifa, Gaza. FOTO AFP
LELAKI Palestin dengan anaknya di luar Hospital Al-Shifa, Gaza. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Ribuan rakyat Palestin berlindung di Hospital Al-Shifa, hospital terbesar di Semenanjung Gaza, daripada serangan udara Israel yang berterusan, kata jurucakap hospital pada Sabtu.

"Kira-kira 35,000 penduduk Gaza berlindung di hospital daripada pencerobohan Israel," tulis Pengarah Mohamed Abu Slima menerusi hantaran di Facebook (FB) seperti dilaporkan Agensi Anadolu.

"Penduduk berada dalam keadaan panik dan ketakutan," tulisnya, sambil menambah keluarga memasang khemah mereka di kompleks perubatan itu untuk keselamatan.

Tentera Israel sebelum ini memberi amaran kepada 1.1 juta penduduk di utara Gaza untuk mengosongkan rumah mereka pada Jumaat.

Ribuan penduduk Gaza kemudian bergerak ke selatan serta-merta, dan menyebabkan ramai daripada mereka berlindung di hospital.

Kementerian Kesihatan di Gaza berkata, sekurang-kurangnya 70 rakyat Palestin terbunuh dan 200 cedera dalam serangan udara Israel ke atas konvoi trak membawa orang awam yang utara ke selatan Gaza.

Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric memberi amaran adalah mustahil bagi penduduk Palestin di Gaza untuk mematuhi arahan untuk meninggalkan kawasan utara tanpa akibat kemanusiaan yang memusnahkan.

Sementara itu, tentera Israel melancarkan serangan berterusan di Semenanjung Gaza sebagai tindak balas terhadap serangan tentera oleh kumpulan Palestin Hamas di wilayah Israel.

Konflik bermula Sabtu minggu lalu apabila Hamas memulakan Operasi Banjir Al-Aqsa iaitu serangan mengejut pelbagai serampang termasuk serangan roket bertubi-tubi dan penyusupan ke Israel melalui darat, laut dan udara.

Hamas berkata, operasi itu adalah tindakan balas terhadap pencerobohan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur dan keganasan peneroka haram Yahudi yang semakin meningkat terhadap rakyat Palestin.

Tentera Israel kemudian melancarkan Operasi Pedang Besi terhadap sasaran Hamas di Semenanjung Gaza.

Ia diperluaskan kepada pemotongan bekalan air dan elektrik ke Gaza, memburukkan lagi keadaan hidup di kawasan yang berdepan sekatan darat, laut dan udara, sejak 2006.

Lebih 3,300 individu terbunuh sejak tercetusnya konflik, termasuk sekurang-kurangnya 1,900 rakyat Palestin dan sekurang-kurangnya 1,400 warga Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 9:54 AM