TENTERA Mesir dan pengiring keselamatan mengiringi kenderaan membawa bantuan ke Gaza, dilihat berhampiran pintu sempadan Rafah. FOTO AFP
TENTERA Mesir dan pengiring keselamatan mengiringi kenderaan membawa bantuan ke Gaza, dilihat berhampiran pintu sempadan Rafah. FOTO AFP
Agensi

Kaherah: Israel yang didakwa menghalang kemasukan bantuan ke Gaza selepas pintu sempadan di Rafah dibuka pada Jumaat, lapor Agensi Anadolu.

Jurucakap Kementerian Luar Ahmed Abu Zeid dalam ciapan di X berkata, Mesir jelas menjadi sasaran media Barat yang mempromosikan perpindahan untuk rakyat Palestin dan menganggap Kaherah bertanggungjawab atas penutupan lintasan itu, walaupun Israel bertindak menyerang dan menolak kemasukan bantuan.

Menurutnya, negara itu juga digambarkan bertanggungjawab untuk menghalang warga negara ketiga daripada keluar dari Gaza.

Jurucakap itu juga menegaskan bahawa lintasan Rafah sentiasa terbuka dan Mesir tidak bertanggungjawab untuk menghalang keluar warga negara ketiga.

Lintasan Rafah adalah satu-satunya pintu sempadan antara Semenanjung Gaza dan Mesir dan satu-satunya lintasan yang tidak dikawal rejim zionis Israel.

Ratusan warga Amerika Syarikat yang terkandas di Gaza sedang menunggu pembukaan Rafah untuk berpindah, dengan The New York Times menganggarkan jumlah mereka antara 500 hingga 600 orang.

Terdahulu, konflik di Gaza dan sekatan Israel bermula apabila Hamas memulakan Operasi Banjir Al-Aqsa menerusi serangan mengejut pelbagai serampang termasuk pelancaran roket dan penyusupan ke Israel melalui darat, laut dan udara pada 7 Oktober lalu.

Pencerobohan itu sebagai membalas dendam terhadap serbuan ke atas Masjid al-Aqsa dan keganasan yang semakin meningkat oleh Israel.

Tentera Israel kemudian melancarkan Operasi Pedang Besi terhadap sasaran Hamas di Semenanjung Gaza.

Kini, Gaza sedang mengalami krisis kemanusiaan yang teruk, tanpa bekalan elektrik, selain kehabisan bekalan air, makanan, bahan api dan perubatan.

Sekurang-kurangnya 4,137 rakyat Palestin, termasuk 1,524 kanak-kanak dan 1,000 wanita terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 10:37 AM