LELAKI Palestin menunaikan solat Jumaat di tepi jalan di kejiranan Ras al-Amud berhampiran Kota Lama Baitulmaqdis. FOTO AFP
LELAKI Palestin menunaikan solat Jumaat di tepi jalan di kejiranan Ras al-Amud berhampiran Kota Lama Baitulmaqdis. FOTO AFP
Agensi

Gaza: Pihak berkuasa Israel mengetatkan kawalan bagi menghalang rakyat Palestin menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa untuk minggu kelima berturut-turut.

Agensi Anadolu melaporkan ramai tentera Israel dikerahkan sejak awal pagi Jumaat merentasi Baitulmaqdis Timur yang diduduki, terutamanya di Kota Lama dan pintu masuk menuju ke Masjid Al-Aqsa.

Bagaimanapun, seorang pegawai Jabatan Wakaf di Baitulmaqdis memberitahu Agensi Anadolu bahawa 4,000 rakyat Palestin majoritinya warga emas berjaya sampai ke Masjid Al-Aqsa untuk menunaikan solat Jumaat.

Pegawai itu yang enggan namanya disiarkan menambah bahawa masjid itu kelihatan kosong berikutan kawalan ketat Israel di laluan ke masjid.

Ratusan rakyat Palestin terpaksa menunaikan solat Jumaat di jalan-jalan berhampiran kawasan Kota Lama selepas dilarang memasuki Masjid Al-Aqsa.

Pihak Israel tidak mengulas mengenai alasan menyekat akses umat Islam ke Masjid Al-Aqsa untuk solat.

Tentera Israel meluaskan serangan udara dan darat ke atas Semenanjung Gaza selepas wilayah itu berada di bawah serangan bom dari udara tanpa henti sejak 7 Oktober lalu.

Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza meningkat kepada 11,078 pada Jumaat, kata Kementerian Kesihatan di Gaza.

Korban kekejaman Israel itu termasuk 4,506 kanak-kanak, 3,027 wanita, dan 678 warga emas, manakala 27,490 orang cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 1:22 PM