PROSES penggantian kain Kiswah pada tahun lalu. FOTO Bernama
PROSES penggantian kain Kiswah pada tahun lalu. FOTO Bernama
Agensi

Makkah: Pihak berkuasa Arab Saudi menahan dua warga Pakistan kerana memiliki tujuh potongan kain Kiswah yang mahu dipos ke luar negara.

Portal Gulf News melaporkan polis menahan ketika mereka mahu mengirim tujuh potongan kain itu melalui cawangan Saudi Post di daerah Al Shasha.

Soal siasat mendapati mereka dipercayai membeli kain Kiswah itu dari seorang penjual India pada harga 300 Riyal (kira-kira RM330).

Mereka direman untuk siasatan lanjut, kata polis.

Kiswah adalah kain yang menutupi Kaabah dan lazimnya ditukar pada hari Arafah iaitu pada hari kesembilan bulan Zulhijjah.

Ia ketika jemaah haji menunaikan wukuf di Arafah dan sebagai persediaan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha pada 10 bulan Zulhijjah.

Warna kain itu bagaimanapun sering ditukar dengan keperluan semasa dan peredaran zaman.

Nabi Muhammad SAW menutupnya dengan kain Yaman berjalur putih dan merah manakala Abu Bakar As Siddiq, Umar Al Khattab dan Uthman Affan menutupinya dengan warna putih.

Warna hitam akhirnya dipilih pada akhir era Abbasiyah kerana tahan lama apabila disentuh oleh jemaah haji dan umrah serta pengunjung dari seluruh dunia.

Dengan musim umrah yang sudah bersambung semula, kain Kiswah diangkat ke bahagian tengah untuk memeliharanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 7:01 AM