MASJIDILHARAM. FOTO fail AP
MASJIDILHARAM. FOTO fail AP
Reuters

Riyadh: Arab Saudi akan menghapuskan sekatan Covid-19 untuk musim haji tahun ini dan menjadi tuan rumah kepada jemaah haji seperti jumlah yang direkodkan sebelum pandemik.

Kementerian Haji dan Umrah menerusi ciapannya di Twitter juga memaklumkan tidak akan mengenakan sekatan, termasuk had umur, untuk musim ini.

Akses tahun lalu terhad untuk jemaah haji berumur 18 hingga 65 tahun yang sudah divaksin sepenuhnya, atau mempunyai imuniti terhadap Covid-19 dan tidak menghidap penyakit kronik.

Musim haji dijangka bermula pada 26 Jun tahun ini.

Selama bertahun-tahun, kerajaan sudah membelanjakan berbilion dolar untuk menjadikan Makkah dan Madinah sebagai tempat perhimpunan agama terbesar di dunia, supaya lebih selamat.

Haji, kewajipan sekali seumur hidup bagi setiap Muslim yang berkemampuan menjadi sumber pendapatan utama kerajaan Arab Saudi.

Pelan pembaharuan ekonomi Putera Mahkota Mohammed Salman menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti umrah dan haji kepada 30 juta jemaah setiap tahun dan ia bakal menjana pendapatan AS$13.32 bilion (kira-kira RM58.3 bilion) menjelang 2030.

Menurut rekod, dianggarkan 19 juta individu pergi mengerjakan umrah setiap tahun.

Kira-kira 2.6 juta individu menunaikan haji pada 2019 iaitu tahun terakhir sebelum Covid-19 melanda.

Kerajaan Arab Saudi kemudian membenarkan bilangan jemaah terhad meliputi penduduknya pada 2020 dan 2021, sebelum menerima satu juta jemaah haji asing tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 10:44 AM