GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
AFP

Riyadh: Arab Saudi mengehadkan kehadiran jemaah haji tahun ini, kali kedua berturut-turut selepas langkah sama dilaksanakan tahun lalu akibat pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.

Tahun lalu, Arab Saudi membenarkan 10,000 jemaah, dan tahun ini angka berkenaan ditambah kepada 60,000 selepas mengambil kira faktor vaksinasi.

Pada 2019, seramai 2.5 juta jemaah dilaporkan mengerjakan ibadah haji.

Pada Oktober tahun lalu, selepas sekatan dilonggarkan, Arab Saudi membenarkan jemaah umrah mengerjakan solat di Masjidil Haram selepas menutup ruangan berkenaan selama tujuh bulan.

Jemaah umrah dihadkan kepada 20,000 sehari dengan 60,000 jemaah dibenarkan mengerjakan solat di Masjidil Haram setiap hari.

Bagaimanapun, kerajaan Arab Saudi masih belum membenarkan jemaah menyentuh Hajarul Aswad.

Kementerian Haji berkata, jumlah berkenaan ditetapkan selepas mengambil kira aspek keselamatan jemaah.

"Dengan jumlah jemaah yang ramai selain tempoh masa lama di sesuatu lokasi, ia memerlukan langkah keselamatan yang tinggi," katanya dalam kenyataan.

Kebiasaannya, ibadah haji dan umrah memberikan pendapatan tahunan mencecah AS$12 bilion (kira-kira RM49.3 bilion) kepada Arab Saudi.

Negara berkenaan mencatatkan lebih 460,000 kes jangkitan Covid-19 dengan 7,536 kematian.

Ia sudah memberikan lebih 15 juta dos vaksin Covid-19 untuk populasi mencecah 34 juta.

Hari ini, Arab Saudi mengumumkan untuk membenarkan hanya 60,000 jemaah haji tahun ini yang hanya dibuka kepada warga negara dan penduduk tetap Arab Saudi.

Mereka juga perlu bebas dari sebarang penyakit kronik, berusia antara 18 dan 65 tahun serta sudah mendapatkan vaksin Covid-19 mengikut peraturan ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 8:23 PM