MASJIDILHARAM. FOTO fail AFP
MASJIDILHARAM. FOTO fail AFP
Agensi

Makkah: Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, mengeluarkan arahan diraja supaya penghadang perlindungan di sekeliling Kaabah dialihkan sempena permulaan musim umrah untuk tahun ini.

Arahan itu diumumkan oleh Presiden Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais.

Menurut Sheikh Abdul Rahman, keputusan berkenaan untuk memudahkan jemaah serta pelawat Masjidilharam menunaikan ibadah dalam suasana tenang dan selamat,

Penghadang itu diletakkan di sekeliling Kaabah pada 1 Julai 2020 bertujuan untuk mencegah penularan Covid-19.

Pada Oktober 2020, Arab Saudi membenarkan semula ibadah umrah dalam kalangan rakyat tempatan selepas tujuh bulan digantung ekoran pandemik Covid-19.

Umat Islam luar negara pula kemudian dibenarkan menunaikan umrah pada Ogos tahun lalu, dengan syarat dan protokol kesihatan yang ketat bagi mengekang penularan Covid-19.

Pada Mac lalu, Arab Saudi menarik balik kebanyakan sekatan Covid-19 termasuk menghapuskan penjarakan fizikal dalam kalangan jemaah di Masjidilharam di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Negara itu juga tidak lagi mewajibkan pelawat divaksin menunjukkan keputusan negatif ujian PCR atau RTK sebelum tiba ke negara itu, atau diwajibkan menjalani kuarantin.

Pandemik Covid-19 menjejaskan perjalanan jemaah umrah dan haji yang kebiasaannya menjadi penyumbang pendapatan utama negara itu dengan pendapatan sekitar AS$12 bilion (RM50 bilion) setiap tahun.

Tahun lalu, penularan Covid-19 memaksa Arab Saudi mengurangkan jumlah jemaah haji untuk tahun kedua berturut-turut, dengan hanya 60,000 rakyat dan penduduk negara itu yang lengkap divaksin, dibenarkan menunaikan haji.

Bagi tahun ini, kira-kira sejuta jemaah dibenarkan menunaikan ibadah haji, membabitkan individu berusia 65 tahun ke bawah.

Sejak pandemik Covid-19 bermula, Arab Saudi merekodkan lebih 800,000 kes Covid-19 dan 9,000 kematian, berbanding populasi negara itu yang berjumlah 34 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 12:23 PM