KINI nisbah biri-biri berbanding penduduk New Zealand menjadi kurang lima ekor untuk seorang penduduk. FOTO AFP
KINI nisbah biri-biri berbanding penduduk New Zealand menjadi kurang lima ekor untuk seorang penduduk. FOTO AFP
AFP

Wellington: Jumlah biri-biri di New Zealand masih melebihi jumlah penduduk, walaupun nisbah antara kedua-duanya kini semakin mengecil.

Angka rasmi diumumkan pada Isnin itu berdasarkan bancian pengeluaran pertanian lima tahun New Zealand.

Agensi kerajaan New Zealand berkata, negara itu mempunyai lebih sedikit biri-biri berbanding jumlah haiwan ternakan itu Australia.

Haiwan ternakan itu berkurangan sebanyak 400,000 ekor atau dua peratus kepada 25.3 juta pada Jun 2022.

Penganalisis, Jason Attewell berkata, berdasarkan rekod nisbah biri-biri kepada manusia, ia menurun di bawah lima ekor berbanding seorang penduduk pada 2022, buat pertama kali sejak 1850-an.

"Pada 1982, nisbah biri-biri New Zealand (berbanding penduduk) adalah 22 ekor bagi setiap orang.

"Australia pada masa ini mempunyai tiga kali lebih banyak biri-biri berbanding New Zealand, walaupun nisbahnya hanya sekitar tiga ekor biri-biri kepada setiap orang," katanya.

New Zealand yang mempunyai 5.2 juta orang penduduk adalah antara pengeksport biri-biri utama dunia.

Jumlah pengeksportan itu membabitkan nilai keseluruhan AS$284 juta (kira-kira RM1.29 bilion), tahun lalu.

Namun, peningkatan kos pertanian dan kejatuhan harga biri-biri menyaksikan jumlah ternakan di negara itu berkurangan daripada paras tertinggi 72 juta pada 1980-an.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 12:03 PM