MOHAMAD Yahya memberi makan kepada kambing dan biri-biri diternaknya di FELDA Pasoh Dua, Jelebu. (Gambar kanan), Mohamad Yahya memandikan biri-biri. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
MOHAMAD Yahya memberi makan kepada kambing dan biri-biri diternaknya di FELDA Pasoh Dua, Jelebu. (Gambar kanan), Mohamad Yahya memandikan biri-biri. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap.
Abnor Hamizam Abd Manap


STATUS sebagai peguam bukan halangan buat Mohamad Yahya Zakaria, 42, untuk menternak kambing dan biri-biri kerana ia adalah sunnah Rasulullah SAW.

Biarpun berkhidmat di Dang Wangi, Kuala Lumpur sejak 2002, Mohamad Yahya masih berkesempatan menternak 70 kambing dan biri-biri jenis Dorper bersama lima rakan di Felda Pasoh Dua, Jelebu.

Mohamad Yahya berkata, amalan itu dilakukan bagi menghidupkan sunnah Rasulullah SAW, selain faktor permintaan tinggi terhadap haiwan ternakan berkenaan.

Generasi kedua Felda itu berkata, dia berkongsi modal bersama lima rakan iaitu Mohd Azlan Ismail, 39; Mohd Nor Farhan Ibrahim, 32; Izan Abd Jabar, 35; Suhaizat Sulaiman, 28, dan Norizwan Abas, 30.

“Kami menternak tiga kambing pada 2016 sebelum membiak 28 ekor. Pada Januari lalu, kami berkongsi RM45,000 untuk membeli 21 biri-biri jenis Dorper dari Australia.

“Walaupun nampak ‘simple’ (mudah), penternakan ini menyeronokkan kerana menghidupkan sunnah Rasulullah. Pada masa sama ia menjana pendapatan kerana mendapat permintaan,” katanya yang turut membeli kambing daripada penduduk kampung.

Menurutnya, mereka yang memiliki 70 kambing dan biri-biri sudah membelanjakan hampir RM500,000 termasuk membina kandang dan pagar selain membeli mesin memproses makanan haiwan ternakan.

Katanya, penternakan itu boleh dijadikan aktiviti riadah bersama keluarga termasuk memberi makan kepada haiwan terbabit.

“Lebih menyeronokkan ketika memandikan biri-biri dua hari sekali.

“Haiwan itu jinak bersama manusia dan tidak menakutkan kanak-kanak,” katanya.

Menurutnya, dia dan lima rakan bergilir-gilir menjaga haiwan ternakan itu bagi mengelak kecurian berlaku.

Katanya, jika sebelum ini hasil pengeluaran kelapa sawit menjadi fokus utama, namun kini penternakan diberi perhatian atas faktor permintaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 9:24 PM