Seekor biri-biri diselamatkan dari kapal Badr 1. - FOTO AFP
Seekor biri-biri diselamatkan dari kapal Badr 1. - FOTO AFP
AFP

Khartoum: Sebuah kapal yang sarat dengan muatan sekitar 16,000 kambing biri-biri tenggelam semalam di luar pantai Laut Merah, Sudan, mengorbankan hampir kesemua haiwan di dalamnya.

Bagaimanapun, anak kapal terselamat.

Seorang pegawai pelabuhan berkata, kapal itu selesai memuatkan ternakan di pelabuhan Suakin di laut Merah, Sudan untuk dibawa ke Arab Saudi, apabila ia mula tenggelam ketika meninggalkan dermaga.

"Kapal itu, Badr 1 tenggelam pada awal pagi Ahad, ia membawa 15,800 ekor biri-biri, yang melebihi had muatan.

"Kapal ini sepatutnya hanya dibenarkan membawa 9,000 ekor haiwan itu," kata seorang pegawai kanan pelabuhan Sudan, yang enggan namanya disiarkan.

Ketua persatuan pengeksport kebangsaan Sudan, Omar al-Khalifa, berkata kapal berkenaan mengambil masa beberapa jam sebelum tenggelam sepenuhnya di dermaga dan berpendapat masa mencukupi bagi menyelamatkan semua ternakan.

Sementara itu, ketua bahagian ternakan kesatuan terbabit, Saleh Selim berkata, jumlah keseluruhan kambing biri-biri yang dimuat naik dari pelabuhan Suakin ialah sekitar 14 juta riyal Arab Saudi (RM4.4 juta).

"Pemilik ternakan hanya berjaya menyelamatkan sekitar 700 ekor biri-biri tetapi kebanyakannya di dapati sakit dan dijangka tidak akan hidup lama," katanya.

Seorang lagi pegawai pelabuhan, yang mengesahkan bahawa semua anak kapal diselamatkan, menyuarakan kebimbangan mengenai kesan ekonomi dan alam sekitar akibat tragedi itu.

"Kapal karam itu akan menjejaskan operasi pelabuhan, ia juga mungkin akan memberi kesan kepada alam sekitar kerana kematian sejumlah besar haiwan yang dibawa oleh kapal berkenaan," kata pegawai terbabit.

Pada bulan lalu, kebakaran besar yang berlaku di kawasan kargo pelabuhan Suakin menyebabkan kerosakan teruk tetapi punca kebakaran belum diketahui walaupun siasatan sudah dilancarkan.

Bandar pelabuhan bersejarah Suakin bukan lagi hab perdagangan asing utama Sudan selepas kedudukan itu diambil alih oleh Pelabuhan Sudan, 60 kilometer (km) dari Suakin, di sepanjang pantai Laut Merah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 5:30 PM