Sebahagian daripada 15 ekor biri-biri yang ditemui mati dipercayai dibaham harimau. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Sebahagian daripada 15 ekor biri-biri yang ditemui mati dipercayai dibaham harimau. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Abnor Hamizam Abd Manap


BANGKAI 15 biri-biri ditemui dalam kandang di Kampung Geylang, Simpang Pertang, Jelebu dipercayai dibaham harimau hari ini.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang, Azmi Abd Rahman berkata, kejadian disedari pemilik haiwan itu ketika mahu memberi makan jam 8 pagi.

Katanya, berdasarkan penemuan, bangkai itu disiat dan dirobek di bahagian perut hingga menampakkan tulang rusuk.

“Keadaan ini membimbangkan kerana sudah dua kali berlaku.

“Bulan lalu, beberapa ekor biri-biri yang diletakkan di luar kandang juga mati dibaham,” katanya.

Menurut Azmi, penduduk mempercayai 15 biri-biri itu dibaham antara jam 12 tengah malam hingga awal pagi hari ini.

Katanya, sebelum ini Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan memasang perangkap di sekitar kandang namun hingga kini tiada tangkapan ke atas harimau.

Azmi yang juga Bendahari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berharap masalah itu dapat diselesaikan segera kerana banyak haiwan ternakan sudah mati.

“Apa yang membimbangkan adalah tidak mustahil harimau terbabit memasuki kediaman seterusnya membahayakan nyawa penduduk,” katanya hari ini.

Sementara itu Pengarah PERHILITAN negeri, Wan Mat Wan Harun yang dihubungi enggan mengulas mengenai kejadian berikutan belum menerima laporan daripada pegawainya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 5:41 PM