FOTO fail menunjukkan wanita di Iran membeli belah di Bazar Tajrish pada 15 Mac 2023. FOTO Reuters
FOTO fail menunjukkan wanita di Iran membeli belah di Bazar Tajrish pada 15 Mac 2023. FOTO Reuters
AFP

Tehran: Polis di Iran pada Sabtu memberitahu rancangan untuk menggunakan teknologi pintar di tempat awam untuk mengenal pasti kemudian menghukum wanita yang melanggar peraturan ketat mengenai cara berpakaian di negara itu.

Menerusi satu kenyataan, pasukan polis memberitahu akan mengambil tindakan untuk mengenal pasti wanita yang melanggar norma dengan menggunakan alat dan kamera pintar di tempat awam dan jalan raya.

Polis kemudiannya akan menghantar mesej bukti dan amaran kepada individu yang melanggar undang-undang hijab untuk memaklumkan mereka mengenai tindakan undang-undang, jika mengulangi jenayah ini.

Bilangan wanita di Iran yang mengingkari kod pakaian wajib dilaporkan meningkat sejak gelombang protes berikutan kematian dalam tahanan Kurdish-Iran Mahsa Amini, 22, yang didakwa melanggar peraturan itu.

"Mulai Sabtu depan, wanita yang menanggalkan tudung mereka akan dikenal pasti dengan menggunakan peralatan pintar.

"Orang ramai yang menanggalkan hijab mereka di tempat awam akan diberi amaran terlebih dahulu sebelum dihadapkan ke mahkamah sebagai langkah seterusnya," kata Ketua Polis Iran, Ahmad-Reza Radan dalam temu bual dengan stesen televisyen tempatan.

Beliau berkata pemilik kereta juga akan menerima teks amaran jika ada penumpang mereka yang melanggar etika berpakaian, dan kenderaan pemilik akan disita jika kesalahan itu berulang.

Terdahulu, Mahsa dilaporkan meninggal dunia pada 16 September lalu iaitu tiga hari selepas ditahan polis moral.

Gelombang protes awam melanda republik Islam itu selepas kematiannya.

Dalam satu kenyataan berasingan pada Sabtu, polis berkata, mereka tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tingkah laku dan tindakan individu atau kolektif yang bertentangan dengan undang-undang.

Minggu lalu, video tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki membaling yogurt kepada dua wanita kerana tidak berhijab.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 9:42 AM