FOTO fail pada 19 September yang diperoleh AP menunjukkan motosikal polis dibakar ketika rusuhan di Tehran. FOTO AP
FOTO fail pada 19 September yang diperoleh AP menunjukkan motosikal polis dibakar ketika rusuhan di Tehran. FOTO AP
AFP

Tehran: Rakyat Iran mengingkari amaran badan kehakiman apabila berterusan merusuh di jalanan yang memasuki hari ke-10, semalam.

Mereka bertindak sedemikian bagi memprotes kematian Mahsa Amini ketika wanita itu berada dalam tahanan polis moral.

Sekurang-kurangnya 41 orang maut sejak pergolakan itu bermula, dengan kebanyakannya adalah penunjuk perasaan tetapi termasuk anggota pasukan keselamatan republik Islam itu, menurut angka rasmi, walaupun sumber lain mengatakan angka sebenar lebih tinggi.

Hak Asasi Manusia Iran (IHR) yang berpangkalan di Oslo petang semalam berkata, angka kematian mencecah sekurang-kurangnya 57 orang, namun sambungan Internet terputus secara berterusan menjadikan semakin sukar untuk mengesahkan kematian dalam konteks di mana protes yang diketuai wanita semakin merebak ke beberapa bandar.

Ketua badan kehakiman, Gholamhossein Mohseni Ejei menekankan, keperluan untuk tindakan tegas tanpa kelonggaran terhadap pencetus utama rusuhan, kata laman web badan kehakiman, Mizan Online.

Ratusan penunjuk perasaan, aktivis reformis dan wartawan ditangkap di tengah-tengah rusuhan terbabit yang kebanyakannya berlaku pada waktu malam sejak pergolakan pertama kali tercetus selepas kematian Mahsa pada 16 September lalu.

Mahsa, yang nama pertamanya dalam bahasa Kurdish ialah Jhina, ditahan tiga hari sebelum itu kerana didakwa melanggar peraturan kod pakaian iaitu mewajibkan pemakaian tudung kepala selain melarang seluar jeans koyak serta pakaian berwarna terang.

Pada masa sama, rakyat Iran juga menganjurkan perhimpunan besar untuk mempertahankan hijab dan nilai konservatif.

Perhimpunan prokerajaan diadakan semalam dengan acara utama berlangsung di Dataran Enghelab (Revolusi) di tengah Tehran, di mana penunjuk perasaan menyuarakan sokongan terhadap undang-undang wajib berhijab.

"Tudung ini akan berada di atas kepala kita sampai mati," kata penunjuk perasaan Nafiseh, 28.

Seorang lagi penunjuk perasaan, pelajar berusia 21 tahun Atyieh, menggesa tindakan tegas terhadap orang yang mengetuai protes itu.

Kumpulan reformis utama di dalam Iran, Kesatuan Parti Rakyat Iran Islam, bagaimanapun, menggesa pemansuhan kod berpakaian mandatori.

Sementara itu, pihak berkuasa Iran masih belum menyatakan punca kematian Mahsa, yang menurut aktivis, meninggal dunia akibat dipukul di kepala.

Menteri Dalam Negeri, Ahmad Vahidi menafikan perkara itu dan meminta menunggu laporan perubatan dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 10:57 AM