POLIS Tehran berada di tepi jalan susulan pemantauan pihak berkuasa terhadap individu yang melanggar etika pakaian. FOTO AFP
POLIS Tehran berada di tepi jalan susulan pemantauan pihak berkuasa terhadap individu yang melanggar etika pakaian. FOTO AFP
Agensi

Tehran: Polis di Iran pada Sabtu lalu memaklumkan rancangan untuk menangani wanita yang melanggar etika pakaian di negara itu.

Arab News melaporkan, bilangan wanita yang ingkar kewajipan memakai tudung di khalayak ramai, meningkat sejak gerakan protes dicetuskan susulan kematian Mahsa Amini, 22, ketika dalam tahanan selepas ditahan polis moral.

Satu kenyataan di laman web polis pada Sabtu memaklumkan tindakan akan diambil ke atas pelanggaran etika pemakaian di tempat awam, di dalam kereta dan lain-lain lokasi di mana seseorang menanggalkan hijab.

"Dalam konteks ini, teknologi akan digunakan untuk pengenalan pintar bagi orang yang melanggar undang-undang," katanya.

Menurut kenyataan sama, menanggalkan hijab dianggap sebagai satu jenayah.

"Orang yang melanggar undang-undang bertanggungjawab atas tindakan mereka dan harus bertanggungjawab atas kelakuan mereka," katanya.

Gelombang protes awam melanda republik Islam itu selepas kematian Amini pada 16 September lalu, tiga hari selepas penahanannya oleh polis moral.

Berikutan itu, ribuan individu ditangkap, ratusan terbunuh termasuk anggota pasukan keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 10:20 AM