MITRA Hajjar. FOTO Ahram Online
MITRA Hajjar. FOTO Ahram Online
AFP

Tehran: Bintang filem Iran, Mitra Hajjar ditahan di rumahnya pada Sabtu, lapor akhbar reformis, Shargh.

"Mitra Hajjar, seorang pelakon filem dan televisyen, ditahan hari ini selepas penggeledahan di apartmennya," kata Mehdi Koohian, sebahagian daripada pemantau kumpulan artis yang ditangkap, lapor Shargh.

Protes berlaku di Iran sejak kematian Mahsa Amini, seorang wanita warga Iran berusia 22 tahun yang berasal dari wilayah Kurdish pada 16 September lalu.

Mahsa ditangkap oleh polis moral kerana didakwa melanggar kod pemakaian wanita republik Islam itu.

Ribuan individu ditangkap kerana terbabit dalam protes itu termasuk tokoh terkemuka bidang seni, politik dan sukan.

Bulan lalu, Iran menahan pelakon, Hengameh Ghaziani, yang menyatakan solidariti dengan gerakan protes dan menanggalkan tudungnya di khalayak ramai.

Aksi itu dirakam dan kemudian dimuat naik di Instagram (IG).

Bagaimanapun, Hengameh dibebaskan dengan ikat jamin, lapor agensi berita, Tasnim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 10:36 AM