KERBAU naik minyak terpaksa ditembak sebelum disembelih.
KERBAU naik minyak terpaksa ditembak sebelum disembelih.
Agensi

Pekanbaru: Polis Indonesia menembak seekor kerbau selepas haiwan itu 'naik minyak' ketika ibadah korban di pekarangan Masjid Al Iman di Tuah Madani, Pekanbaru, Riau kelmarin.

Kerbau itu menjadi agresif ketika mahu disembelih dan sempat menyondol penduduk dan merempuh kenderaan yang diletakkan di kawasan berhampiran.

Tembakan dilepaskan dengan kebenaran Ketua Polis Wilayah Tampan, Komang Aswatama.

Dalam temu bual dilapor Kompas, Komang berkata, kerbau itu mengamuk selepas tali mengikatnya dilepaskan.

Katanya, penduduk sempat mengepung kawasan namun kerbau itu lolos.

"Ia sempat menyondol empat penduduk selain kereta serta dua motosikal juga rosak akibat dirempuh.

"Peserta korban dan penduduk membawa kerbau itu ke kawasan lapang sebelum anggota polis melepaskan tembakan, sekadar melumpuhkannya," katanya.

Beliau menegaskan tembakan itu bagi mengelak lebih ramai lagi orang cedera akibat amukan kerbau.

Menurutnya, kerbau itu kemudian segera disembelih bagi menyempurnakan ibadah korban.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2022 @ 7:00 AM