Kerbau yang ditembak diletakkan dalam kenderaan di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Banda Hilir di Melaka untuk tindakan lanjut hari ini. Foto Rasul Azli Samad
Kerbau yang ditembak diletakkan dalam kenderaan di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Banda Hilir di Melaka untuk tindakan lanjut hari ini. Foto Rasul Azli Samad
Rizanizam Abdul Hamid


KERBAU yang ‘check-in’ hotel di Jalan Tun Tan Cheng Lock berhampiran Jalan Jonker di Melaka hari ini terpaksa ditembak kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Melaka menggunakan peluru hidup untuk mengelak kejadian lebih buruk berlaku.

Pegawai Veterinar JPV Melaka Dr Tuan Ajmal Tuan Kamaluddin berkata, haiwan itu terpaksa ditembak oleh pegawainya yang terlatih menggunakan peluru hidup dan bukannya ubat pelali.

“Dalam kes itu, kerbau berkenaan besar dan penggunaan ubat pelali lambat untuk memberi kesan kepada haiwan terbabit.

"Jika terlalu lama, dikhuatiri ia boleh mendatangkan kecederaan kepada orang ramai dan anggota bertugas di lokasi.

"Tindakan dilakukan itu mengikut undang-undang sedia ada, malah haiwan itu juga sempat disembelih sebelum ia mati yang tidak menjadikannya bangkai," katanya.

Terdahulu dilaporkan kehadiran haiwan seberat lebih setengah tan itu sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan kira-kira 6 pagi.

Berdasarkan rakaman CCTV, ia memasuki kawasan premis hotel melalui pagar belakang sehingga menyebabkan kerosakan.

Kerbau jantan itu kemudiannya beredar keluar melalui kawasan kafe menuju ke kawasan berhampiran sebelum ia terperangkap dalam sebuah hotel lain kira-kira 8 pagi.

Difahamkan, kerbau itu mula berlegar-legar di sekitar kawasan Jonker Walk sejak petang semalam dan merosakkan beberapa harta awam termasuk cermin dan pagar hotel berhampiran.

Berita berkaitan

[UPDATE] Kerbau 'check-in' hotel mati ditembak

Kerbau pun nak 'check-in' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 10:03 PM