LAMAN janji temu, Medico Life Partner. FOTO Medico Life Partner
LAMAN janji temu, Medico Life Partner. FOTO Medico Life Partner
Agensi

New Delhi: Hanya menerima klien dalam kalangan doktor. Itu tawaran diberikan laman janji temu, Medico Life Partner, hingga tindakan mereka itu mencetuskan kontroversi.

Ramai mendakwa pengendali laman itu menggalakkan kasta dengan membezakan kelas pekerjaan pelanggan.

Medico Life Partner ialah perkhidmatan mencari jodoh dalam talian yang bertujuan membantu doktor lelaki dan perempuan mencari teman hidup berkualiti tinggi serta mempunyai kerjaya sama.

Laman web itu mendakwa, doktor dari pelbagai agama, kasta dan geografi boleh mendaftar, namun nampaknya ia sangat popular di India.

Laman itu menawarkan pelbagai pilihan pendaftaran daripada pelan percuma yang tidak membolehkan kita melihat pengguna lain, maklumat untuk dihubungi atau tidak boleh menghantar mesej.

Atau jika ingin mudah mendapat akses kemudahan laman itu, klien boleh memilih pelan berbayar pada caj antara 3,825 rupee (RM215.57) kepada 18,900 rupee (RM1,065.15).

"Perkahwinan adalah keputusan terbesar dalam hidup seseorang dan untuk keluarga.

"Memilih pasangan hidup dan mencari cinta idaman kamu melalui proses difikirkan baik dan logik adalah sangat disyorkan.

"Penyelesaian ada di internet walaupun masih ramai tidak dapat memberikan pilihan memuaskan terutama kepada individu berpendidikan, progresif dan keluarga dengan latar belakang baik," kenyataan Medico Life Partner dalam laman web seperti dipetik portal Oddity Central.

Berdasarkan seorang pengguna yang memberikan satu bintang kepada perkhidmatan itu, kebanyakan 21,000 akaun rakan kongsi Medico Life Partner adalah palsu dan ia masih belum disahkan.

Seorang lagi pengguna berkata, ada yang mengatakan doktor berkahwin dengan pasangan sama profesion sebenarnya adalah sangat mudah.

Individu lain pula berkata, mereka sedang menunggu platform janji temu dalam talian seumpama itu untuk kerjaya seperti peguam dan jurutera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 6:31 AM