DR Zaliha Mustafa ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama
DR Zaliha Mustafa ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO Bernama
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Program ubat PrEP (Pre-Exposure Prophylaxis) untuk rawatan pencegahan HIV akan diperluaskan kepada 30 lagi klinik kesihatan tahun depan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, program perintis itu dilaksanakan di 18 Klinik Kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) selama 12 bulan bermula Januari lalu sebelum diperluaskan kepada 21 klinik.

"Ada pesakit di Kelantan, contohnya mereka mahu dirawat tetapi tiada fasiliti disediakan setakat ini, jadi mereka terpaksa datang ke Kuala Lumpur.

"Itu ada permintaan maka kita akan perluaskan lagi perkhidmatan ini kepada 30 klinik kesihatan pada 2024," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai status program perintis PrEP serta bilakah program ini akan diperluaskan ke pusat kesihatan lain.

Zaliha berkata, setiap klien yang mengambil PrEP perlu menghadiri sesi kaunseling pengurangan risiko pada setiap temu janji iaitu pada temu janji bulan pertama, ketiga, keenam dan ke-12.

"Sehingga 30 September 2023, seramai 2,714 individu menerima PrEP dan berdasarkan analisis awal sehingga bulan keenam penggunaan PrEP, terdapat penurunan kadar jangkitan penyakit sifilis iaitu daripada 11 peratus kepada kurang satu peratus.

"Peratus klien yang tidak menggunakan kondom menurun daripada 6.3 peratus kepada 3.9 peratus serta klien yang mempunyai 'multiple sexual partner' juga menurun daripada 44.5 peratus kepada 36.1 peratus.

"Seramai 14 klien berhenti menggunakan PrEP kerana tidak lagi melakukan aktiviti seksual yang berisiko," katanya.

Katanya, hasil dapatan awal kajian ini menunjukkan klien yang mengambil PrEP mematuhi dan mengamalkan nasihat pencegahan jangkitan HIV melalui penggunaan kondom secara konsisten dan perubahan tingkah laku lebih baik, walaupun sedang menggunakan PrEP.

"Pengumpulan data kajian dijangka selesai pada 31 Disember 2023.

"Data daripada kajian itu akan dianalisis pada awal 2024 bagi melihat impak kesihatan secara langsung dan tidak langsung susulan pemberian PrEP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 3:34 PM