NOTIS yang ditampal di dalam lif. FOTO Twitter Hesha
NOTIS yang ditampal di dalam lif. FOTO Twitter Hesha
Agensi

New Delhi: Denda 300 rupee (kira-kira RM16) dikenakan kepada pembantu rumah, pemandu atau penghantar barangan yang menggunakan lif di sebuah pangsapuri di Hyderabad, India.

Syarat keterlaluan itu menyebabkan kawasan perumahan berkenaan dikecam netizen yang menganggap ia peraturan tidak masuk akal.

Diskriminasi bukan sesuatu perkara baharu di India kerana mereka mengasingkan seseorang itu mengikut kasta.

Pekerja domestik, penghantar barangan, pembantu rumah antara golongan yang sering didiskriminasi dalam pelbagai urusan seharian.

Penduduk yang mengenakan syarat untuk mengenakan denda juga menyebabkan netizen kembali 'bersuara' dan mengutuk tindakan itu.

Jurugambar bebas @Hesha berkongsi poster syarat itu di Twitter yang ditemui di sebuah lif di kawasan perumahan di Hyderabad.

"Jika pembantu rumah, pemandu atau penghantar barangan menggunakan lif ini, mereka akan didenda," tulis notis itu.

Poster berkenaan kemudiannya tular dan netizen mempertikaikan syarat dikenakan pihak berkuasa bangunan itu.

Bagaimanapun, pihak bertanggungjawab mengeluarkan syarat itu mendakwa tindakan yang dibuat demi mengawal penularan Covid-19.

Ada juga pihak yang menganggap syarat itu bukan satu masalah yang besar dan normal.

Malah ada individu yang beranggapan tindakan itu adalah untuk memastikan lif berkenaan sentiasa bersih.

Ini kerana ada yang mendakwa kekotoran dalam lif disebabkan golongan kasta rendah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 7:01 AM