FOTO hiasan
FOTO hiasan
Agensi

New Delhi: Seorang pemuda yang dipatuk ular bernasib baik masih hidup walaupun terpaksa menempuh perjalanan sejauh 1,300 kilometer (km) dari Gujarat ke Kanpur, Uttar Pradesh, India bagi mendapatkan rawatan.

Dalam kejadian 15 Ogos lalu, Sunil Kumar, 20, dari Fatehpur yang bekerja sebagai buruh di Rajkot, Gujarat, dipatuk seekor ular.

Dia dikejarkan ke pusat kesihatan di sana tetapi keadaannya semakin teruk sebelum dia dilaporkan tidak sedarkan diri.

Ahli keluarganya bimbang dengan kesihatannya yang semakin merosot dan memutuskan untuk membawanya ke Hospital Lala Lajpat Rai (LLR) di Kanpur untuk rawatan.

Mereka membayar khidmat ambulans Advanced Life Support (ALS) di Gujarat dengan harga 51,000 rupee (RM2,874) dan menempuh jarak 1,307 km untuk membawa pesakit itu ke Kanpur.

Apabila tiba di Hospital LLR, dia segera memakai ventilator dan rawatannya dimulakan.

Kerja keras doktor membuahkan hasil dan perlahan-lahan pesakit mula pulih sebelum alat sokongan ventilator ditanggalkan, Sabtu lalu.

Pakar perubatan kanan LLR, Dr BP Priyadarshi berkata, pesakit diberikan rawatan selepas tiba di hospital terbabit pada 17 Ogos lalu dalam keadaan kritikal.

"Keadaannya ketika itu sangat kritikal dengan racun ular itu mempunyai kesan neurotoksik dalam badannya.

"Justeru, kita memberikan anti-racun dan ubat-ubatan lain bagi menyelamatkan nyawanya dan sehingga keadaannya kini semakin stabil dan bertambah baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 10:19 AM