POLIS Israel menyerang penduduk Palestin bagi melarang mereka daripada memasuki kediaman di Sheikh Jarrah. FOTO Agensi Anadolu.
POLIS Israel menyerang penduduk Palestin bagi melarang mereka daripada memasuki kediaman di Sheikh Jarrah. FOTO Agensi Anadolu.
Agensi

Baitulmaqdis: Polis Israel menyerang keluarga Palestin di kawasan Sheikh Jarrah, wilayah timur yang diduduki pada Ahad, lapor Agensi Anadolu.

Menurut saksi, penguat kuasa itu dilapor melarang penduduk daripada memasuki kediaman menggunakan belantan.

Mereka juga didakwa menggunakan kekerasan untuk menyuraikan wartawan dan penduduk Palestin yang berada di kawasan itu bagi menyokong keluarga yang diancam pengusiran.

Sementara itu, pasukan keselamatan Israel turut didakwa menyerbu sebuah rumah di kejiranan sama dan menyerang penduduknya.

Pada Sabtu, peneroka Israel dilapor melepaskan gas pemedih mata ke arah penduduk dan mereka yang sama-sama dalam solidariti untuk mempertahankan kejiranan berkenaan.

Ketegangan meningkat di seluruh wilayah Palestin sejak April lalu selepas keputusan mahkamah Israel untuk mengusir keluarga Palestin daripada kediaman mereka di Sheikh Jarrah, sebagai memihak kepada peneroka Yahudi.

Situasi itu semakin meledak apabila rejim Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan menyerang penganut Islam, hingga membawa kepada serangan udara di Semenanjung Gaza yang membunuh sekurang-kurangnya 290 penduduk Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak.

Serangan juga menyebabkan pelbagai kemusnahan, termasuk pusat kesihatan, sekolah dan pejabat media.

Pada 21 Mei lalu, genjatan senjata dijayakan menerusi rundingan Mesir dan mengakhiri pengeboman 11 hari yang dilakukan Israel ke atas Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 12:39 PM