Penyerang Manchester City, Riyad Mahrez. FOTO Agensi
Penyerang Manchester City, Riyad Mahrez. FOTO Agensi
AFP

Nicosia: Pemain bola sepak Arab dan Muslim menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin sejak beberapa hari lalu menerusi media sosial dengan mengecam pertembungan tentera Israel dan penunjuk perasaan di Timur Jerusalem.

"Dunia perlukan keamanan dan kasih sayang. Tidak lama lagi kita menyambut perayaan, kita perlu menyayangi antara satu sama lain. #PrayForPalestine," kata bintang Manchester United, Paul Pogba di Instagram miliknya disamping gambar yang merujuk pada Hari Raya Aidilfitri minggu ini yang menandakan berakhirnya Ramadan.

Beberapa atlet dan bekas atlet turut memuat naik pesanan menyatakan solidariti kepada nasib masyarakat di Palestin.

Tekanan memuncak sejak beberapa minggu lalu di kejiranan Sheikh Jarrah apabila penduduk Israel menyerbu kawasan itu selepas mahkamah Israel mengusir keluarga Palestin yang mendiami kawasan berkenaan.

Penduduk Palestin yang melakukan protes sebagai solidariti dengan penduduk Sheikh Jarrah menjadi sasaran tentera Israel.

Penyerang Algeria yang beraksi untuk Manchester City, Riyad Mahrez turut memuat naik gambar bendera Palestin disamping menyatakan #SaveSheikhJarrah. Posting berkenaan dikongsi menerusi Twitter lebih daripada 50,000 kali.

Pemain Maghribi yang turut beraksi bersama kelab gergasi Itali, Inter Milan, Achraf Hakimi, pula memuat naik rakaman video seorang wanita didakwa ditahan selepas bertengkar dengan pihak keselamatan Israel berkaitan isu terbabit.

Bekas penyerang Mali dan Tottenham, Frederic Kanoute dan pemain Mesir dan Olympiakos, Ahmed Hassan "Kouka", turut mencatat di Twitter, dengan menyelar tindakan itu.

Beberapa atlet lain termasuk bekas juara seni bela diri campuran dari Russia, Khabib Nurmagomedov; pemain bola sepak Perancis, Franck Ribery; pemain bola sepak Jerman, Shkodran Mustafi dan bekas bintang bola sepak Mesir yang kini pengulas saluran sukan beIN di Qatar, Mohamed Aboutrika turut simpati dengan nasib Palestin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 11:14 AM