MONA dilihat mempersoalkan tindakan Jacob.
MONA dilihat mempersoalkan tindakan Jacob.
Agensi

Baitulmaqdis: Tular rakaman video menunjukkan seorang pendatang Israel bertikam lidah dengan wanita muda Palestin selepas lelaki itu cuba merampas rumah keluarga berkenaan di kawasan Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur.

Al-Jazeera melaporkan video berkenaan dirakam oleh aktivis Palestin Tamer Maqalda.

Ia menunjukkan Mona al-Kurd, 22, didatangi seorang lelaki Israel di rumah keluarganya.

Menerusi video berkenaan, Mona al-Kurd dilihat mempersoalkan tindakan lelaki itu yang dikatakan cuba merampas rumahnya.

"Jacob, anda tahu bahawa ini bukan rumah anda. Namun, kamu mengambilnya daripada saya.

"Tiada siapa yang boleh mengambil rumah ini daripada saya," katanya.

Lelaki itu tidak berdiam diri sebaliknya membalas tuduhan wanita berkenaan.

"Ya, tetapi jika saya pergi, anda tidak akan kembali, jadi apa masalahnya? Mengapa kamu menengking?"

"Sekiranya saya tidak mencuri rumah anda, orang lain akan melakukannya.

"Ini (rumah) bukan milik saya untuk mengembalikan kepadamu," katanya kepada Mona.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kejiranan Sheikh Jarrah menyaksikan beberapa siri demonstrasi oleh rakyat Palestin.

Mereka dikatakan memprotes perintah Israel supaya mengosongkan kediaman dan tindakan itu susulan pembersihan etnik yang bermula dengan Nakba (penjajahan Israel ke atas Palestin) pada tahun 1948.

Pada malam Isnin minggu lalu, puluhan pasukan Israel menyerbu kawasan kejiranan dan menyerang keluarga Palestin dengan memukul dan menembak gas pemedih mata dan bom ke arah mereka.

Menurut media tempatan Palestin, 20 orang cedera dan sekurang-kurangnya empat lelaki Palestin dan seorang gadis ditangkap, dengan dua dibebaskan pada hari Selasa iaitu keesokan harinya.

Separuh dari rumah keluarga al-Kurd diambil alih oleh orang Israel pada tahun 2009.

Kembar lelaki kepada Mona, Mohammed sebelumnya memberitahu Al Jazeera bahawa pengalaman berkongsi rumah dengan orang Israel amat mengerikan.

"Mereka duduk di rumah kami, menyeksa, mengganggu dan melakukan semua yang mereka mahukan.

"Mereka bukan saja memaksa meninggalkan rumah tetapi juga mengganggu jiran kami untuk keluar sebagai sebahagian daripada usaha untuk memusnahkan sepenuhnya kehadiran Palestin dari Baitulmaqdis, " kata Mohammed, yang berusia 11 tahun ketika pendatang Israel mula menduduki kawasan itu.

Mac lalu, mahkamah daerah Israel di Baitulmadis Timur mengesahkan perintah untuk enam keluarga Palestin termasuk keluarga al-Kurd di Sheikh Jarrah supaya mengosongkan kediaman mereka untuk memberi laluan kepada pendatang Israel.

Mahkamah yang sama turut memerintahkan tujuh keluarga lain meninggalkan kediaman mereka pada 1 Ogos.

Beberapa keluarga terbabit sudah mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu, namun prosiding kes itu ditangguhkan susulan pertempuran penduduk Palestin dan pasukan keselamatan Israel pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Menurut Al-Jazeera, 28 keluarga Palestin tiba di kawasan Karm al-Jaouni di Sheikh Jarrah sebagai pelarian pada tahun 1956.

Di bawah perjanjian dengan Kerajaan Jordan dan Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) rumah itu dibina sebagai pertukaran untuk membatalkan status pelarian mereka.

Selain itu, penduduk Palestin itu diberi jaminan akan memiliki kediaman selepas tiga tahun.

Janji itu tidak pernah dikotakan dan pada 1967, Jordan kehilangan mandatnya atas Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur selepas wilayah berkenaan dijajah Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 6:31 AM