LELAKI Palestin melihat bangunan kediaman yang musnah  dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza. FOTO AFP
LELAKI Palestin melihat bangunan kediaman yang musnah dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza. FOTO AFP
Agensi

Gaza City: Israel menyerang Semenanjung Gaza pada malam Selasa sehingga pagi Rabu, yang menyasarkan pelbagai lokasi di wilayah yang dikenakan sekatan oleh rejim itu.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, angka korban akibat serangan Israel itu meningkat kepada 48 orang, termasuk 14 kanak-kanak.

Lebih daripada 300 orang dilaporkan cedera.

Di kejiranan Tel al-Hawa di sini, seorang lelaki, isterinya yang hamil dan anak lelaki mereka yang berusia lima tahun meninggal dunia selepas kediaman mereka diserang Israel.

Dalam pada itu, Al Jazeera melaporkan enam penduduk Israel terbunuh.

Al Jazeera yang memetik sumber tempatan berkata, jet Israel mengebom tapak yang didakwa milik pejuang Palestin termasuk kemudahan keselamatan dan polis.

Rejim Israel melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza pada malam Isnin dan Selasa, sebagai tindak balas kepada Hamas dan pejuang Palestin yang melancarkan roket ke arah wilayah dikuasai Israel.

Pertempuran yang terus berlaku sehingga kini itu berpunca daripada insiden di Masjidil al-Aqsa susulan tindakan Israel yang mengusir penduduk Palestin dari rumah mereka di Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis.

Selain itu, ia juga disebabkan tindakan pasukan keselamatan Israel memasuki kawasan Masjid Al-Aqsa.

Pada malam Selasa, Hamas melancarkan roket menyasarkan hab ekonomi Israel, Tel Aviv, pada Selasa.

Ia sebagai tindak balas kepada Israel yang melancarkan serangan di Semenanjung Gaza yang memusnahkan satu blok bangunan kediaman 12 tingkat di Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 7:19 PM