POLIS Israel menyerang penduduk Palestin bagi melarang mereka daripada memasuki kediaman di Sheikh Jarrah. FOTO Agensi Anadolu.
POLIS Israel menyerang penduduk Palestin bagi melarang mereka daripada memasuki kediaman di Sheikh Jarrah. FOTO Agensi Anadolu.
Agensi

Baitulmaqdis: Penindasan Israel terhadap masyarakat Palestin masih belum berhenti dengan kelmarin, ada lagi keluarga di Sheikh Jarrah menjadi sasaran pengusiran.

Agensi Anadolu melaporkan, saksi mendakwa keluarga berkenaan yang menetap di wilayah timur diduduki Israel itu diserang dengan belantan dan dilarang daripada memasuki kediaman mereka.

Penguat kuasa itu juga didakwa menggunakan kekerasan untuk menyuraikan wartawan dan penduduk Palestin lain yang berada di kawasan itu bagi menyokong keluarga yang diancam pengusiran.

Sementara itu, pasukan keselamatan Israel pula menyerbu sebuah rumah di kejiranan sama dan menyerang penduduknya.

Pada Sabtu, peneroka Israel dilapor melepaskan gas pemedih mata ke arah penduduk dan mereka yang bersama-sama dalam solidariti untuk mempertahankan kejiranan berkenaan.

Ketegangan meningkat di seluruh wilayah Palestin sejak April lalu selepas keputusan mahkamah Israel untuk mengusir keluarga Palestin daripada kediaman mereka di Sheikh Jarrah, sebagai memihak kepada peneroka Yahudi.

Situasi itu semakin meledak apabila rejim Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan menyerang penganut Islam, hingga membawa kepada serangan udara di Semenanjung Gaza yang membunuh sekurang-kurangnya 290 penduduk Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 6:00 AM