LELAKI Palestin memeriksa kelas di sebuah sekolah yang rosak teruk dibedil tentera Zionis Israel. FOTO AFP
LELAKI Palestin memeriksa kelas di sebuah sekolah yang rosak teruk dibedil tentera Zionis Israel. FOTO AFP
Syah Rul Aswari Abdullah

Serangan rejim zionis di Semenanjung Gaza sejak 10 Mei lalu mengorbankan 253 penduduk Palestin termasuk 66 kanak-kanak. Ia turut mencederakan lebih daripada 1,900 orang dalam konflik selama 11 hari sejak 10 Mei lalu, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza.

Di pihak Israel, 12 orang termasuk seorang kanak-kanak dan seorang remaja Arab-Israel, seorang tentera Israel, seorang warga negara India dan dua pekerja Thailand terkorban. Kira-kira 357 orang lagi cedera.

Namun, apa yang mencetuskan konflik paling berdarah antara Israel dan pejuang Palestin di Gaza, sejak 2014 ini? Ia sebenarnya berpunca daripada tindakan rejim zionis yang mengusir penduduk Palestin di Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur.

Tetapi apakah isu Sheikh Jarrah ini? Ia sebenarnya mempunyai susur galur sejarah yang panjang. Dipendekkan cerita, rejim Zionis mengumumkan pembentukan negara Israel pada 1948 atas tanah penduduk Palestin.

Pada peristiwa yang dipanggil Nakba (penjajahan Israel ke atas Palestin), rejim Zionis menceroboh dan memusnahkan lebih 500 bandar dan kampung sehingga memaksa lebih 700,000 penduduk Palestin melarikan diri ke negara jiran.

Apa yang terjadi selepas itu? Rejim Zionis tidak membenarkan penduduk Palestin kembali ke rumah mereka. Tindakan itu kerana Israel bimbang kepulangan penduduk Palestin akan menggugat usaha pihaknya merampas tanah untuk membentuk apa yang didakwa sebagai Israel. Mereka tidak mahu kembali menjadi minoriti.

Menurut Al-Jazeera, keluarga Palestin tiba di kawasan Karm al-Jaouni di Sheikh Jarrah sebagai 'pelarian' pada 1956. Menerusi perjanjian Jordan dan Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), rumah dibina sebagai pertukaran untuk membatalkan status pelarian mereka.

Selain itu, penduduk Palestin itu diberi jaminan akan memiliki kediaman di situ, selepas tiga tahun.

Malangnya, janji itu tidak pernah dikotakan. Pada 1967, Jordan kehilangan mandatnya ke atas Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur selepas wilayah berkenaan dijajah Israel.

Sejak itu, daripada 28 keluarga, penduduk Palestin di Sheikh Jarrah berkembang menjadi 38 keluarga. Namun, apa yang menjadi masalah, Israel terus-menerus berusaha untuk mengusir penduduk Palestin di kawasan berkenaan.

Pada Mac lalu, mahkamah daerah Israel di Baitulmadis Timur mengeluarkan perintah untuk enam keluarga Palestin di Sheikh Jarrah supaya mengosongkan kediaman mereka untuk memberi laluan kepada pendatang Israel.

Mahkamah sama juga mengeluarkan perintah kepada tujuh lagi keluarga Palestin untuk mengosongkan kediaman mereka menjelang 1 Ogos.

Ia membangkitkan kemarahan penduduk yang kemudian melakukan beberapa demonstrasi termasuk di Masjid Al-Aqsa pada hari-hari terakhir Ramadan.

Rejim Zionis kemudian bertindak menceroboh tempat ketiga paling suci untuk umat Islam dan bertempur dengan penunjuk perasaan warga Palestin. Apa yang membangkitkan lagi kemarahan umat Islam, tindakan itu turut dilakukan pada malam ke-27 Ramadan, yang bagi penduduk sesetengah negara Arab - secara tradisinya digelar malam Lailatul Qadar.

Pejuang Hamas kemudian memberi kata dua kepada tentera musuh untuk berundur dari Masjidil Aqsa. Israel masih tidak berundur dari kawasan masjid berkenaan menyebabkan Hamas melancarkan roket ke arah wilayah dijajah Israel.

Israel kemudian melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza, sehingga akhirnya kedua-dua pihak bersetuju atas gencatan senjata mulai jam 2 pagi 21 Mei lalu.

Abaikan seketika mengenai isu agama, negara atau undang-undang, sebaliknya, nilaikan perkara ini daripada perkara asas iaitu hak asasi manusia dalam isu Sheikh Jarrah ini.

Bayangkan, jika anda salah seorang penduduk Palestin di situ. Sudahlah tanah air dijajah, rumah yang sudah dihuni keluarga sejak beberapa generasi pula dirampas. Ia sesuka hati diberikan kepada pendatang Yahudi dari negara Barat.

Rejim Zionis pula mentadbir kawasan anda secara haram di samping menguatkuasakan undang-undang meskipun tindakan itu tidak diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Jadi, sekiranya anda salah seorang penduduk Palestin di Sheikh Jarrah, apa pilihan yang ada dan apa yang anda akan lakukan?

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 7:00 AM